fbpx
AMINUDDIN berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

Jangan jadi sahabat yang tebuk kapal sendiri – Aminuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Krisis politik yang melanda Negeri Sembilan sebelum ini disifatkan berpunca daripada tindakan ‘sahabat’ sendiri yang didakwa mengkhianati kepercayaan dan kesetiaan terhadap pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun kemelut itu berjaya diselesaikan, namun ia masih meninggalkan parut dalam pentadbiran gabungan tersebut.

Menurutnya, situasi tersebut diibaratkan seperti sebuah kapal besar yang dibina kukuh dan berjaya mengharungi pelbagai cabaran, namun akhirnya ‘ditebuk’ dari dalam oleh individu yang berada dalam kapal.

“Kami di Negeri Sembilan ada kapal besar. Kapal yang kita bina cukup hebat, besar dan kukuh. Perjalanan jauh telah kita lalui bersama. Kita sebagai nakhoda, mereka tunjuk kesetiaan ketika berada dalam kapal, tiba-tiba mereka rasa tidak selesa lalu menebuk kapal dari dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perwakilan PH Negeri Sembilan pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, tindakan tersebut menyebabkan ‘air masuk’ ke dalam kapal dan memberi kesan besar terhadap kestabilan politik negeri berkenaan.

Katanya, walaupun kerosakan itu berjaya diperbaiki, namun kesan kebocoran tetap menjadi simbol kepada pengkhianatan yang pernah berlaku dalam gabungan berkenaan.

“Apabila ditebuk, jadikan satu kesan. Walaupun mampu tampal, tetapi tetap ada tanda kebocoran. Itulah tanda ada pengkhianatan sebelum ini. Kadang-kadang kita tidak nampak tanda-tanda atau rasa tidak puas hati, tetapi akhirnya perkara itu berlaku juga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan situasi politik di Negeri Sembilan membuktikan tumpuan Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan hanya terarah kepada Johor dan Melaka, malah negeri itu juga perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, Konvensyen PH 2026 menjadi bukti bahawa gabungan tersebut kini semakin bersatu dan bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Hari ini kita tunjukkan kesatuan bukan sesuatu yang mudah dibina. Sebelum ini keadaan di Negeri Sembilan agak berkecamuk, tetapi hari ini kita cukup bersatu padu dan kukuh.

“Kita tidak lihat siapa individu itu, yang penting mereka berada dalam PH. Sahabat, tolong jangan khianati kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN