SEREMBAN – Ahli perniagaan, Albert Tei mengesahkan dia layak bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana beralamat di Seremban.
Bagi membuktikan perkara itu, Albert menunjukkan kad pengenalan (MyKad) miliknya yang tertera alamat di Taman Seremban Jaya, Seremban.
“Saya nak beritahu Anthony Loke, alamat kad pengenalan saya di Taman Seremban Jaya. Jadi bagaimana dia fitnah saya, dia tuduh alamat saya bukan di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiaan Cheing, 37, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang memintanya menukar alamat terlebih dahulu sekiranya mahu bertanding dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Menurut Albert, Anthony sepatutnya menyemak terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Jangan suka-suka menuduh. Saya tidak tahu dari mana dia dapat maklumat. Lain kali semak dulu sebelum berucap,” katanya yang turut mengingatkan Anthony agar tidak ‘lari’ ke Dewan Undangan Negeri (DUN) lain apabila tiba PRN nanti.
Albert memaklumkan dia berminat menyertai parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sudah berbincang mengenainya bersama pucuk pimpinan.
“Saya ini masih ‘anak dara’ dalam politik. Terpulang kepada pihak pucuk pimpinan untuk tentukan, tapi saya difahamkan mereka menyokong saya. Dalam masa terdekat saya akan mengesahkan perkara ini. Tapi saya sudah bersedia bertanding di DUN Chennah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














