JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bila-bila masa susulan spekulasi sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 24 Jun ini yang dikaitkan dengan kemungkinan pembubaran DUN.
Situasi politik Johor ketika ini semakin hangat selepas Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan akan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16 akan datang.
Susulan pengumuman yang dikeluarkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, PH Johor menegaskan akan menentang habis-habisan keputusan tersebut.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan politik di negeri ini.
Menurut beliau, PH Johor dan BN Johor juga telah menyatakan pendirian masing-masing berhubung hala tuju politik negeri berkenaan.
“Kita tunggu dan dengar pandangan daripada pimpinan utama (Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada petang nanti.
“Mungkin, mungkin (ada rundingan PH-BN). Selepas 24 Jun, kita akan bersedia. Pakatan Harapan bersedia untuk apa-apa kemungkinan (PRN Johor),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, sini hari ini.
Terdahulu, PH Johor dilaporkan menegaskan keputusan BN Johor untuk bergerak solo menunjukkan pintu kerjasama politik di peringkat negeri sudah tertutup dan gabungan itu bersedia menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.
Semalam, Onn Hafiz yang juga Menteri Bsar Johor mengumumkan BN akan bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. – KOSMO! ONLINE














