KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis direman empat hari bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan seorang lelaki warga China di sebuah restoran di Bukit Bintang, Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi pada 14 Mac lalu di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Angsoka di sini.
Menurut beliau, pengadu mendakwa dimaklumkan bahawa rakan sekerjanya telah ditahan sekumpulan anggota polis ketika mahu keluar dari sebuah kereta Mercedes-Benz.
“Rakan pengadu didakwa ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti scammer atau calling centre selain mendakwa majikan mereka yang merupakan warga China dikehendaki pihak berkuasa di Kemboja dan China.
“Pengadu kemudian hadir ke lokasi dan mendapati rakannya digari hampir sejam sebelum dibebaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengadu turut mendakwa dipaksa menyerahkan wang tunai RM5,000 kepada individu terbabit di restoran berkenaan.
“Pada hari sama kira-kira pukul 10 malam, pengadu menerima panggilan telefon meminta dia hadir ke sebuah premis di Ampang untuk berbincang mengenai kes melibatkan majikannya.
“Pengadu kemudian diminta menyerahkan wang tambahan sebanyak RM2,500 sebelum tampil membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan anggota polis terbabit,” katanya.
Menurut beliau, susulan laporan diterima, polis telah menahan seorang pegawai polis bagi membantu siasatan.
“Suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














