fbpx
Muhammad Syahmi Faris (kiri) dan Hafiqah Qurratu Aini.

Pasangan laku persediaan persetubuhan haram disebat empat kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Padah melakukan persediaan bagi persetubuhan luar nikah, seorang pemandu lori bersama pasangannya yang merupakan pembantu kedai makan masing-masing dijatuhi hukuman empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof memerintahkan hukuman demikian selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Syahmi Faris Latif, 24, dan Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 22, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini didakwa melakukan persediaan bagi persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah pejabat agensi kerajaan di pekan Marang pada pukul 10.45 malam, 4 Disember 2025.

Mengikut fakta kes, sewaktu serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), kedua-dua tertuduh didapati berada di dalam keadaan mencurigakan di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Sewaktu ditahan, Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini didapati dalam keadaan tidak lengkap berpakaian.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir Terengganu 2001 (Pindaan 2022) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini yang masing-masing menetap di Tembakang dan Medan Jaya, Marang dalam rayuan mereka lebih rela dikenakan hukuman sebatan syariah berbanding meringkuk ke dalam penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN