JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak gabungan itu bersedia bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang selepas mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat sebagai respons terhadap tindakan Barisan Nasional (BN) Johor yang mengumumkan akan bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurut beliau, PH tidak akan berdiam diri sekiranya rakan dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk ‘bertempur’ dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Kalau mereka sudah ambil keputusan untuk bertempur, jawapan kita harus tegas.
“Hari ini PH mengambil keputusan untuk menjawab dengan tegas. Kalau inilah pilihan mereka, PH akan bertanding di semua kawasan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keputusan tersebut bukan sahaja melibatkan Johor dan Negeri Sembilan malah semua kerusi DUN di Selangor, Pulau Pinang serta Pahang turut disenaraikan untuk ditandingi PH secara menyeluruh.
“Di Johor sudah diumumkan, Negeri Sembilan juga hampir selesai, kita lawan semuanya,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan PH masih terbuka untuk berunding sekiranya kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan dapat diperkukuhkan demi kestabilan negara.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, kerajaan hari ini dibina atas asas kestabilan politik dan kerjasama pelbagai kaum bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.
Namun katanya, jika ada pihak memilih untuk meretakkan hubungan sedia ada, PH juga bersedia menghadapi pertandingan secara terbuka.
“Gendang sudah dipalu, perang sudah diisytiharkan. Kalau mereka pilih untuk bertempur, kita lawan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
“Saya akan bincang dengan kawan-kawan PH secara serius. Kalau inilah cara untuk memperkukuh kekuatan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan, apakah mungkin kita pilih untuk bertanding sendiri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














