PETALING JAYA – Spekulasi mengenai hala tuju politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akhirnya terjawab apabila kedua-dua pemimpin itu mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, esok.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bersama Nik Nazmi selaku Ahli Parlimen Setiawangsa membuat pengumuman tersebut dalam majlis pengambilalihan Parti Bersama Malaysia di PJ Performing Arts Centre, di sini hari ini.
Menurut mereka, surat pemberitahuan rasmi mengenai pengosongan kerusi itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada esok.
Tindakan berkenaan dijangka membuka laluan kepada pilihan raya kecil di Parlimen Pandan dan Setiawangsa memandangkan kekosongan berlaku sebelum tempoh dua tahun terakhir penggal Parlimen semasa.
Hari ini, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR bersama bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia.
Simbolik penyerahan parti itu yang akan diterajui Rafizi dan Nik Nazmi dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin itu di Petaling Jaya.
Ahli Parlimen PKR lain yang kelihatan hadir sama dalam majlis itu ialah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya). – KOSMO! ONLINE














