fbpx
Amir Hamzah (berdiri kanan) beramah mesra dengan murid prasekolah pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Prasekolah PPKI di SK Tan Sri Awang Had Salleh, Pulau Betong hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD

Amir Hamzah menghadap Sultan Pahang isu peruntukan minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memperjelaskan isu berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang.

Amir Hamzah berkata, pertemuan tersebut akan diadakan pihaknya selewat-lewatnya hujung minggu ini.

“Komitmen Kerajaan Persekutuan memang selalunya untuk memastikan apa yang kita bagi kepada negeri-negeri sentiasa mengikut perlembagaan.

“Yang keduanya, kita berusaha untuk meningkatkan peruntukan tiap-tiap tahun dan bila ada projek yang lebih penting dari segi pembangunan, kita akan tambah mengikut keutamaan yang ada.

“Jadi seperti yang dikatakan Perdana Menteri, saya akan berbincang juga dengan kerajaan di Pahang dan saya akan berjumpa dengan Sultan Pahang, insya-Allah pada minggu ni untuk memperjelaskan perkara ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pra Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pertemuan itu juga bagi memastikan semua pihak memahami secara jelas mengenai peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan.

“Ini saya rasa tak ada masalah. Ini hanya memastikan semua pihak faham apa yang ada, apa yang kita dah berikan, apa yang prioriti yang diberikan, dan saya rasa akan selesailah isu ni,” jelasnya.

Pada 8 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau akan meminta Menteri Kewangan II menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15, minggu lalu bertitah mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN