fbpx
Anthony ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

UEC bukan ancam kedudukan bahasa Melayu – Anthony 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook menegaskan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan bertujuan menidakkan penguasaan bahasa Melayu, sebaliknya membuka ruang kepada rakyat menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Tamil dan Mandarin.

Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, bahasa Melayu akan terus diperkasakan sebagai bahasa kebangsaan dan tidak pernah dipinggirkan dalam dasar kerajaan.

Menurutnya, dakwaan kononnya pengiktirafan UEC melemahkan kedudukan bahasa Melayu adalah tidak berasas kerana pelajar UEC tetap perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jangan bimbang, bahasa Melayu bahasa kebangsaan kita selama-lamanya. Hari ini kita mahu anak-anak Malaysia kuasai pelbagai bahasa.

“Bahasa Melayu hebat, bahasa Cina hebat, bahasa Inggeris hebat, bahasa Tamil juga hebat. Kalau boleh bahasa Arab juga kita hebat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Anthony berkata, fakta menunjukkan lebih 80 peratus pelajar UEC dalam tempoh lima tahun lalu turut menduduki peperiksaan SPM.

Katanya, pada tahun lalu sahaja seramai 9,580 daripada 10,944 pelajar UEC mengambil peperiksaan SPM sebagai syarat asas pendidikan nasional.

“UEC ini bukan mahu menggantikan SPM seperti didakwa sesetengah pihak. Pelajar UEC juga duduk SPM.

“Kalau tidak ambil keseluruhan subjek sekalipun, mereka tetap perlu mempunyai kredit bahasa Melayu dan lulus sejarah,” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut telah dibentangkan dalam sesi pemukiman Kabinet dan kerajaan yakin pelajar UEC masih mempunyai asas kukuh dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Anthony turut memuji keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu pengiktirafan UEC yang menurutnya gagal diselesaikan oleh kerajaan terdahulu walaupun telah lama dijanjikan.

Katanya, pelbagai parti politik termasuk pembangkang sebelum ini pernah menyokong pengiktirafan UEC menerusi manifesto pilihan raya masing-masing.

Beliau mendakwa pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga pernah menyokong perkara itu ketika bersama gabungan pembangkang suatu ketika dahulu.

“Sekarang apabila kerajaan melaksanakan perkara ini, mereka kata kerajaan jual Melayu dan ini agenda DAP.

“Padahal masa mahu undi masyarakat Cina dahulu, mereka juga setuju dengan pengiktirafan UEC,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, kerajaan Madani memberi penekanan terhadap akses pendidikan yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Menurutnya, isu pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana matlamat utama kerajaan adalah melahirkan generasi muda yang mampu menguasai pelbagai bahasa dan bersaing di peringkat global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN