Bank Dunia melaporkan, hampir 43 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak boleh membaca dan tidak faham apa dibaca, justeru inisiatif Universiti Taylor's membimbing ratusan murid lemah membaca dari lebih 20 sekolah di seluruh negara wajar dipuji.

Projek mega universiti bantu murid-murid ‘buta huruf’ pandai membaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM ini, Kesavan Sai berhadapan dengan kesukaran untuk membaca dengan lancar.

Kesukaran yang dihadapi oleh murid berusia 12 tahun itu telah disedari oleh salah seorang gurunya di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Effigham, Petaling Jaya, Selangor.

Rentetan itu, Kesavan telah diminta untuk mengikuti program Projek BacaBaca yang merupakan satu inisiatif yang diterajui oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Taylor’s.

Selepas setahun mengikuti program tersebut, Kesavan kini boleh membaca dengan lancar.

“Dahulu, saya tidak boleh membaca, sekarang saya gembira kerana sudah pandai membaca dengan lancar.

“Kini, saya faham apa yang ditulis di dalam buku,” katanya kepada K-Kampus.

Menurut Kesavan, dia tidak melepaskan peluang mengikuti program tersebut kerana tahu membaca adalah sesuatu yang sangat penting.

Untuk itu, dia tidak keberatan untuk mengikuti kelas membaca yang diadakan setiap Khamis selepas waktu persekolahan selama tiga jam.

Di dalam kelas itu, dia mendapat bimbingan daripada jurulatih bacaan daripada Projek BacaBaca.

Dalam pada itu, Sophia Irene Anak Bong Yong Hui, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sunway juga merupakan seorang murid yang mengikuti Projek BacaBaca.

Menurutnya, sebelum ini dia berdepan kesukaran untuk membaca dalam bahasa Melayu.

Salah seorang sukarelawan Projek BacaBaca tekun mengajar tiga murid membaca di dalam sebuah kelas.

Pendekatan pembelajaran berperingkat dalam program tersebut telah membantunya meningkatkan kemahiran membaca.

“Mula-mula saya susah hendak membaca dalam bahasa Melayu. Selepas mengikuti program ini, saya sudah boleh membaca dan faham maksudnya,” ujarnya.

Untuk makluman, Projek BacaBaca memasuki tahun keenam pelaksanaannya, dan telah memberi manfaat kepada lebih 500 murid.

Sejak tahun 2021, inisiatif itu telah mencatatkan peningkatan kadar literasi sebanyak 100 peratus merentasi lebih 20 buah sekolah dan pelbagai komuniti di seluruh negara.

Ini termasuk kawasan bandar berpendapatan rendah, komuniti luar bandar, masyarakat Orang Asli serta kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.

BAGI Ketua Projek dan Pensyarah Kanan di Universiti Taylor’s, Hema Letchamanan, kekuatan inisiatif itu terletak pada komitmen kolektif terhadap matlamat yang lebih besar.

HEMA merupakan Ketua Projek BacaBaca yang diwujudkan oleh Universiti Taylor’s dalam usaha meningkatkan kebolehan membaca dalam kalangan murid sekolah.

Menurutnya, Projek BacaBaca bermula dengan matlamat yang jelas iaitu memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang mampu membaca mengikut tahap sepatutnya.

“Kini, projek ini berkembang menjadi satu usaha kolektif yang melibatkan pendidik, rakan kerjasama dan komuniti yang berkongsi aspirasi untuk memberi permulaan terbaik kepada kanak-kanak.

“Apabila seseorang kanak-kanak mampu membaca dengan yakin, ia membuka peluang luas dalam pembelajaran dan masa depan mereka. Hakikat inilah yang terus menjadi dorongan kepada usaha berkenaan,” katanya.

Tambah Hema, selain pencapaian akademik, peningkatan kemahiran membaca turut menyumbang kepada pembentukan keyakinan diri, sifat ingin tahu serta amalan pembelajaran kendiri.

Impak tersebut melangkaui akademik semata-mata, dengan memupuk nilai-nilai murni seperti disiplin, kepercayaan diri dan minat mendalam terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Sebagai peluasan kepada inisiatif sedia ada, Projek BacaBaca+ diperkenalkan bagi menyokong murid berusia 11 dan 12 tahun daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dalam mencapai Tahap Penguasaan (TP) empat hingga TP6 bagi bahasa Melayu.

Menariknya, program itu dilaksanakan secara bersemuka dalam kumpulan kecil, sekali gus membantu melancarkan peralihan murid ke sekolah menengah, di samping memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan mereka.

Baru-baru ini, Projek BacaBaca telah meraikan kejayaan 100 murid dalam perjalanan penguasaan literasi mereka.

SATU majlis menghimpunkan kohort 2025 Projek BacaBaca telah diadakan di Universiti Taylor’s, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Majlis tersebut menghimpunkan kohort 2025 yang terdiri daripada pelbagai sekolah dan latar belakang komuniti bagi memperlihatkan kemajuan serta ketekunan mereka sepanjang program itu.

Murid-murid berkenaan berjaya membuktikan bahawa sokongan yang berterusan sejak peringkat awal mampu memperkukuh kemahiran membaca dengan ketara.

Dalam konteks kepentingan literasi awal sebagai asas pembelajaran sepanjang hayat, Projek BacaBaca terus memainkan peranan signifikan dalam merapatkan jurang penguasaan membaca.

Sejak diperkenalkan, inisiatif berasaskan penyelidikan yang diterajui oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Taylor’s itu komited memperkukuh penguasaan literasi bahasa Inggeris dan Melayu.

Majlis berkenaan turut menghimpunkan murid-murid bersama jurulatih bacaan, guru-guru serta rakan kerjasama pendidikan bagi meraikan pencapaian penting dalam perkembangan literasi mereka.

Kohort berkenaan terdiri daripada murid-murid dari SK Bandar Sunway, SJK (T) Batu Ampat, SJK (T) Effingham, SJK (T) Ladang Sungai Choh dan SJK (T) Vivekananda.

Dalam majlis tersebut turut diadakan penyampaian anugerah yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Rusmini Ku Ahmad.

Buat masa ini, Projek BacaBaca merupakan satu langkah terbaik dalam membantu menangani masalah membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Hema berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia beberapa tahun lalu, hampir 43 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak boleh membaca dan tidak faham apa dibaca.

“Bank Dunia kategorikan masalah ini sebagai ‘kemiskinan pembelajaran’, meskipun kadar pendaftaran kemasukan ke sekolah hampir 100 peratus.

“Bagaimanapun, hampir separuh daripadanya tidak boleh membaca.

“Ini yang patut kita risaukan kerana pelajar ke sekolah tetapi mereka tidak boleh membaca dan terdapat banyak faktor yang menyebabkan mereka tidak boleh membaca,” jelasnya.

Projek BacaBaca memberikan tumpuan kepada kanak-kanak berumur enam hingga sembilan tahun untuk membina asas membaca.

Apabila kanak-kanak telah menjangkau umur sembilan hingga 10 tahun, mereka sudah boleh membaca dengan lancar.

Tidak dapat dinafikan, kelas yang besar dan pelajar ramai telah menyukarkan guru untuk memberikan perhatian lebih kepada pelajar lemah membaca.

Jadi, Projek BacaBaca mampu mengisi ruang itu dengan menyediakan pembimbing bacaan oleh sukarelawan terlatih.

Sehingga tahun ini, projek berkenaan telah bekerjasama dengan lebih 20 buah sekolah termasuk di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah.

Selain bimbingan akademik, projek tersebut turut menitikberatkan kebajikan pelajar dengan menyediakan makan tengah hari yang berkhasiat bagi menyuntik semangat mereka untuk hadir ke sesi pembelajaran.

Dalam pada itu, Hema berkata, Projek BacaBaca kini telah memulakan fasa pelaksanaan bagi tahun 2026.

Justeru, pihaknya mengalu-alukan penyertaan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk berperanan sebagai jurulatih bacaan.

“Kekuatan utama inisiatif ini terletak pada sokongan para sukarelawan. Sepanjang lima tahun lalu, lebih 500 individu telah menyertai kami dan mereka berjaya membawa perubahan bermakna kepada kehidupan kanak-kanak ini.

“Kami berharap lebih ramai sukarelawan tampil membantu agar usaha ini dapat diperluaskan dan diperkukuh pada masa hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN