fbpx
Simon menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Ahli perniagaan buntu, RM300,000 lesap ditipu ‘orang tengah’ along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang ahli perniagaan berusia 65 tahun rugi berganda apabila mendakwa diperdaya orang tengah untuk melunaskan pinjaman ceti haram atau along berjumlah lebih RM300,000.

Kejadian berlaku dua minggu lalu ketika warga emas yang mahu dikenali sebagai Simon itu berurusan dengan seorang lelaki yang mendakwa boleh berurusan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, lelaki berkenaan memaklumkan telah berunding dengan lebih 30 along untuk menyelesaikan keseluruhan hutangnya dan meminta lebih RM100,000 sebagai bayaran awal.

“Saya diperkenalkan dengan orang tengah ini oleh seorang kenalan kononnya dapat membantu saya menyelesaikan hutang dengan along. Dia juga mendakwa boleh berurusan dengan sebuah NGO yang aktif menyelesaikan isu berkaitan along menyebabkan saya rasa yakin dengan khidmat ditawarkan.

“Sejak dua minggu lalu, saya sudah membuat 21 transaksi bayaran berjumlah antara RM1,600 hingga RM10,250,” katanya sambil memaklumkan laporan polis juga telah dibuat di Teluk Intan berhubung perkara itu.

Azman Kang

Jelasnya, rasa lega hanya bertahan beberapa hari kerana selepas itu hidupnya kembali diganggu along yang meminta pinjamannya dilunaskan menyebabkan dia meminta orang tengah berkenaan memberikan semua slip pembayaran yang telah dibuat.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati semua slip berkenaan adalah palsu dan lelaki berkenaan tidak membayar wang kepada along seperti dijanjikan.

“Saya buntu dan kecewa kerana ditipu lelaki berkenaan. Saya juga tidak pasti apakah dia benar-benar mempunyai hubungan baik dengan NGO berkenaan,” katanya yang turut membuat aduan kepada Perunding Masalah Ceti Haram, Azman Kang Abdullah.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya akan berunding dengan semua along berkenaan untuk membantu mangsa menjadualkan semula pembayaran.

“Kita sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun setakat ini kita cuba berunding terlebih dahulu berdasarkan butiran dan rekod pembayaran,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN