PETALING JAYA – “Cuba check (semak) keahlian saya masih ada atau tidak?”.
Itu antara gurauan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengunjungi kaunter pendaftaran ahli baru UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.
Perkara itu dikongsi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki di laman Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri hadir ke WTC bagi merasmikan Sambutan Ulang-Tahun Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke-60.
“Datuk Seri, singgah sekejap di kaunter UMNO. Kaunter paling sibuk sekali di WTC ni, selepas lebih 15 ribu berdaftar semenjak pendaftaran online ahli baharu UMNO dibuka 10 hari lepas,” kata Asyraf ketika mengiringi Anwar semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Mara berkata,k etika Anwar singgah di reruai tersebut sempat berseloroh dan menyapa staf yang sedang sibuk melayani ahli-ahli baharu yang tak putus-putus hadir untuk mendapatkan kad keahlian UMNO.
Untuk rekod, Anwar sebelum ini pernah menyadang jawatan penting dalam UMNO termasuk Ketua Pemuda UMNO (1982), Ahli Majlis Tertinggi, Naib Presiden, dan Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat pada 1998. – KOSMO! ONLINE














