BAGAI hujan yang singgah di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebelum konsert Wali Kembali bermula, air mata vokalis kumpulan popular Indonesia itu, Faank menitis syahdu ketika pertengahan aksi di pentas ikonik tersebut.
Barang kali syahdu melihat sokongan 12,000 peminat yang hadir walau cuaca tidak menentu, Faank bersama tiga lagi tonggak Wali Band tidak putus mengucapkan rasa syukur kepada Ilahi dan terima kasihnya buat khalayak Malaysia.
Biarpun berdepan episod hitam ketika konsert bersama kumpulan Radja di Petaling Jaya tiga bulan lalu, nyata kepercayaan peminat tegarnya tidak pernah luntur.
Konsert Wali Kembali anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures bagi mengubati kekecewaan lalu nyata mencapai matlamat.
Rata-rata yang hadir termasuk kelompok Gen Z dan Millennial terhibur sepanjang dua jam band yang sudah lebih dua dekad ditubuhkan itu tampil di pentas.
Meski hujan lebat membasahi stadium terbuka itu sebelum konsert bermula, situasi tersebut tidak menghapus keinginan penggemar untuk memenuhi ruang acara seawal pukul 5 petang.
Tepat pukul 8.30 malam, Faank bersama Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) muncul memanaskan panggung dengan lagu Kekasih Halal dan Cari Berkah.
Menyapa penonton dengan salam, Wali menaikkan graf momentum persembahan bersama dua seleksi siulan ramai iaitu Udin Bertanya serta Nenekku Pahlawanku.
Kental sebagai grup yang ‘kaya’ repertoire berunsur kemanusiaan serta kerohanian, setiap lagu membawa mesej tersendiri malah ada antara dendangan mengajak pendengar kembali kepada Allah.

Air mata syahdu
Sempat mengusik hadirin dan bergurau mengenai hujan, Faank tidak ketinggalan menyatakan ujian dilalui Wali Band ketika aksi mereka dihentikan atas alasan melebihi had masa mempunyai hikmah tersendiri.
“Nikmat Allah itu besar. Tiga bulan lalu kami berdepan ujian, tetapi ini hikmahnya. Kami dapat jumpa kalian di venue ini,” katanya disambut sorakan gemuruh.
Tanpa membuang masa, aksi diteruskan dengan lagu Emang Dasar serta seleksi yang ditunggu-tunggu iaitu Aku Bukan Bang Toyib dan Tobat Maksiat.
Air mata Faank kelihatan membasahi pipi tatkala Baik-Baik Sayang pula disampaikan hingga sesekali suaranya tersekat-sekat. Namun dia terus mengubah mood syahdu sebaik Yank dan Cari Jodoh diperdengarkan sekali gus membuatkan ramai penonton terus ikut menyanyi dan menari mengikut irama.
Tidak sekadar memberikan hiburan semata-mata buat penonton, Wali Band sempat mengalunkan zikir dan menitipkan doa buat peminat simbolik penghargaan.
Doa dipanjatkan agar segala urusan peminat yang dari pelbagai kalangan usia serta latar belakang sosio dipermudahkan serta kehidupan mereka sentiasa diberkati di dunia dan akhirat.
Mereka juga menyampaikan doa khusus buat rakyat Palestin sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan yang sedang
berlaku. Mendengar rintih doa Faank, tiba-tiba ada keinsafan menjalar ke jiwa. Jika yang berasakan kegilaan membeli tiket dan menonton tidak manfaat selain demi keseronokan, konsert Wali Band tidak begitu.
Apa pun, tepukan gemuruh harus diberikan kepada Wali Band yang menghiburkan sambil mengingatkan tentang keinsafan kemanusiaan. Biar terdapat sedikit kekurangan apabila sesekali ‘sound’ kedengaran tenggelam timbul, itu semua hal kecil yang tidak mengganggu keterujaan penonton.














