SHAH ALAM – Hasrat menunaikan rukun Islam kelima tidak kesampaian, anak kepada Allahyarham Jalil Hamid, Afiqah Jalil mengakui bapanya menyimpan rasa kecewa apabila impian ke Tanah Suci terhalang oleh faktor yang tidak dapat dielakkan.
Ujar Afiqah, 33, Allahyarham sepatutnya berangkat menunaikan ibadah haji tahun ini selepas mengikuti kursus persediaan, namun masalah kesihatan tidak mengizinkan.
“Memang itu hasrat terbesar dia. Tahun lepas ibu pergi seorang, tahun ini ayah sudah buat kursus haji, tetapi tak dapat pergi juga sebab masalah jantung.
“Dia agak kecewa juga. Kami cuba pujuk, kata tak apa, mungkin belum rezeki. Tapi saya tahu dia sedih tak dapat tunaikan haji,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah anak kelima daripada enam adik beradik itu, Allahyarham pernah berseloroh tentang perkara tersebut memandangkan pernah membintangi telefilem berkisar haji berjudul Selangkah ke Syurga. Sebuah lagi telefilem berkisarkan keinginan mengerjakan haji lakonan arwah berjudul Lebai Sampan.
“Dia pernah berlakon cerita tak jadi pergi haji, jadi kami selalu bergurau tentang perkara itu.
“Tapi di sebalik gurauan, saya tahu dia simpan rasa sedih. Itu memang impian dia,” ujarnya.
Afiqah turut meluahkan rasa syukur masih sempat berkongsi momen berharga bersama bapanya meskipun hubungan mereka sebelum ini sering disulami perbezaan pendapat.
“Saya bersyukur sebab sempat ada momen dengan ayah. Walaupun kami selalu berbalah, tapi jauh di sudut hati, saya hargai dia.
“Bila fikir balik, saya rasa bersyukur sebab dia tahu kami sayang dan hargai dia,” luahnya.
Mengimbau detik terakhir bersama, Afiqah berkata perbualan terakhir mereka berlaku malam sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Paling penting katanya, hasrat bapanya ingin ke Singapura untuk pelancaran bukunya yang berjudul Autobiografi Jalil Hamid pada minggu hadapan juga tidak kesampaian. – KOSMO! ONLINE














