SHAH ALAM – Penyanyi Ayu Mayuni tidak dapat menahan sebak apabila anak perempuannya, Viviana menjadi mangsa kecaman netizen kelayakannya menyertai program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) diperlekehkan.
Ani atau nama penuhnya Aishah An-Nur Osman, 48, bagaimanapun menerima setiap komen dengan hati terbuka, namun terkilan penggunaan perkataan yang kurang sopan diberikan netizen.
“Dulu dia dibuli sudah kena macam-macam di sekolah. Jadi, setakat buli dalam media sosial, memang tak ada hal.
“Tapi saya sebagai ibu, tipulah kalau tidak rasa sedih bila anak kena kecam.
“Cuma tolonglah, jaga kata-kata kalau nak menegur, biarlah bahasa yang sesuai. Kita orang Melayu penuh dengan budi bahasa,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert minggu ketiga TTMM2 di sini, semalam.
Kata Ani, dia pernah menghalang Viviana membaca komen netizen kerana enggan menganggu emosi dan persembahan di pentas TTMM2.
“Saya tidak mengabaikan setiap komen, mana yang memuji saya baca, apatah lagi yang mengeji.
“Sejak awal saya pesan jangan tengok media sosial tetapi rupa-rupanya dia rajin membalas netizen dengan cakap terima kasih.
“Semangat dan mental dia sangat kuat, bahkan lebih kuat daripada saya. Saya pula cengeng orangnya,” katanya lagi.
Sementara itu, Viviana, 21, pula memberitahu sudah mempersiapkan kekuatan mental sejak diumumkan menjadi peserta TTMM2 dan kini semakin lali dengan kecaman netizen.
“Sebelum TTMM2 bermula, saya sudah siapkan mental — tiada orang yang hebat tak pernah kena kecam.
“Saya tak terkesan pun dan bagi saya, kecaman adalah pujian,” ujarnya.
Beberapa kali meraih markah tertinggi daripada juri, dia menegaskan tidak pernah mengejar kedudukan atau berasakan lebih hebat daripada peserta lain.
“Saya tak mengejar kedudukan, sertai TTMM2 sebab nak pendedahan mengenai dunia nyanyian dan persembahan serta mahu berikan yang terbaik setiap minggu.
“Kedudukan atau markah tinggi ini, saya tak kisah pun. Paling seronok tengok kawan-kawan lain buat persembahan bersama,” ujarnya lagi.
Semalam, Althea dan Nana Mahazan diumumkan sebagai peserta pertama yang meninggalkan pentas TTMM2 selepas meraih markah terendah daripada barisan juri sebanyak 58.67 peratus pada konsert minggu ketiga TTMM2.
Sementara, Viviana dan Ani selaku pengurusnya pula berjaya berada di kedudukan pertama dengan kutipan markah 84.33 peratus.
Minggu depan, seramai sembilan lagi peserta akan meneruskan perjuangan iaitu Adira bersama anak perempuannya Anggrek, Ani & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva, Datuk Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim. – KOSMO! ONLINE














