fbpx
FAHMI mengganggap Jalil Hamid sebagai permata berharga dalam dunia industri

Fahmi sifatkan Jalil Hamid sebagai penghibur unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian Allahyarham Jalil Hamid sebagai kehilangan sebutir permata berharga dalam industri seni tanah air.

Fahmi menekankan bahawa Allahyarham merupakan seorang tokoh seni yang serba boleh, bukan sahaja dalam bidang lakonan malah juga dalam bidang nyanyian.

“Kita kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air hari ini.

“Saudara Jalil Hamid merupakan seorang seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.

“Beliau merupakan penghibur yang unik dengan gaya dan bakat tersendiri,” katanya dalam Instagram.

Tambahnya, sumbangan besar yang ditinggalkan Allahyarham sepanjang hayatnya akan terus terpahat dalam ingatan masyarakat.

“Segala jasa, bakti dan sumbangannya akan sentiasa dikenang,” ujarnya.

Dia juga mendoakan agar seluruh ahli keluarga, sahabat handai, serta rakan-rakan seperjuangan Allahyarham diberikan ketabahan dalam menghadapi saat hiba ini.

“Takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham.

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya lagi.

Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan kehilangan Jalil Hamid yang meninggal dunia dalam tidur selepas bertarung dengan masalah jantung.

Sepanjang karier, Allahyarham cukup terkenal dengan lagu lagu Ayam dan Raya.

Menerusi lakonan pula, Jalil pernah membintangi filem Wanita Bertudung Hitam, Baginda, Zombi Kampung Pisang dan Bisik Pada Langit serta puluhan drama sejak 1980-an.

Bakat lakonannya mencuri tumpuan sehingga memenangi beberapa anugerah seperti Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Baginda) dalam Festival Filem Malaysia ke-13, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Calon Syurga) di Anugerah Skrin 2016.

Anak jati Masai, Johor itu  juga berjaya dinobatkan sebagai pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi Bisik Pada Langit pada Anugerah Telenovela 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN