BEIJING – Sebuah projek terowong bawah laut yang dirancang dibina dengan kos 300 bilion yuan (RM173 bilion) dijangka dapat memendekkan masa perjalanan selama lapan jam menjadi hanya 40 minit, lapor akhbar Daily Express.
Terowong Selat Bohai di China itu akan merentasi pelbagai zon sesar sepanjang 123 kilometer dengan pasukan jurutera berikrar menggunakan teknologi canggih kalis gempa bumi bagi mencegah bencana.
Di samping itu, terdapat banyak laluan silang yang menghubungkan dua terowong selari, direka untuk berada kira-kira 80 meter di bawah dasar laut.
Pasukan jurutera terbabit turut menyertakan ratusan zon perlindungan kecemasan yang penting untuk pemindahan dalam terowong sepanjang sekiranya berlaku kebakaran atau banjir.
Walaupun tarikh siap belum diumumkan, seorang pegawai kerajaan China berkata, pihak berkuasa berminat untuk memulakan projek itu secepat mungkin.
Projek tersebut dijangka mengambil masa antara 10 hinga 15 tahun untuk disiapkan.
Selain itu, kereta api di Terowong Selat Bohai pula dijangka mencapai kelajuan melebihi 240 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara bandar Dalian dan Yantai hampir 90 peratus. – AGENSI














