PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira pukul 9.30 pagi bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan.
Menurut Rafizi, siasatan tersebut berkait dengan dakwaan yang dikemukakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian usaha sama antara kerajaan dan syarikat pembuat cip yang didakwa dibuat secara tergesa-gesa.
“Saya akan masuk memberi keterangan tanpa peguam kerana kami tiada apa-apa untuk dilindungi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau tidak dapat mengulas lanjut berhubung kes tersebut kerana perkara itu tertakluk kepada siasatan SPRM.
“Perkara ini tertakluk kepada siasatan SPRM, jadi saya tidak boleh ulas lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, kehadirannya disambut kira-kira 50 penyokong yang mula berkumpul di kawasan tersebut seawal pukul 9 pagi.
Terdahulu, Rafizi diminta hadir ke SPRam
bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Hafaz Nazar dilaporkan berkata, Rafizi dipanggil untuk dirakam keterangan pada Isnin ini pada pukul 10 pagi bagi membantu siasatan.
Sehingga kini, sebanyak 22 keterangan diambil termasuklah dalam kalangan Menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025. – KOSMO! ONLINE














