fbpx
ADZLI (kanan) menunjukkan nota ugutan dan barangan yang dirampas susulan tangkapan lima ahli Geng Atan pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Geng Atan terima upah RM600 bakar kenderaan peminjam along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Lima ahli Geng Atan termasuk sepasang suami isteri yang disyaki menerima upah antara RM300 hingga RM600 bagi setiap ‘tugasan’ menyimbah cat dan membakar kenderaan peminjam along berjaya diberkas di sekitar Sungai Petani, dekat sini baru-baru ini.

Empat suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 43 tahun itu ditahan dalam Ops Vulture sejak 26 April lalu dan kini dalam tahanan reman.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kumpulan yang terlibat dengan sindiket along tersebut disyaki aktif mengugut mangsa sejak Februari lalu.

“Lima orang ini berperanan sebagai ‘striker’ atau pelaksana iaitu yang menerima arahan daripada dalang utama sindiket along untuk mengugut mangsa.

“Peranan mereka ini antaranya menulis dan menampal nota ugutan, menyediakan motosikal, menyimbah cat serta membakar kenderaan. Kumpulan ini disyaki telah mengugut ramai mangsa dan tangkapan ini berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes di Sungai Petani dan Bedong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, dalang sindiket menawarkan upah sebanyak RM300 untuk tugasan menyimbah cat, manakala RM600 membakar kenderaan.

“Kesemua suspek ini merupakan penganggur dan positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah dadah dan curi. Sindiket dipercayai merekrut penagih dadah untuk melakukan jenayah tersebut yang mana mereka bergerak secara terancang,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberap barangan antaranya tong mengandungi minyak petrol, tin cat, botol kaca, kertas surat khabar, notis ugutan serta telefon dan motosikal digunakan suspek.

Kata Adzli, salah seorang mangsa adalah pemuda berusia 27 tahun yang didakwa meminjam RM200, namun hanya menerima RM150.

“Dia mendakwa telah membayar keseluruhan nilai pinjaman itu, namun along masih mengganggu dan mengugutnya termasuk membakar kenderaan. Mangsa membuat laporan polis pada 16 April lalu,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya masih memburu dua lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN