BERLIN – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala 22 yang lain cedera selepas sebuah kenderaan merempuh orang ramai di Leipzig, timur Jerman, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Datuk Bandar Leipzig, Buckhard Jung berkata, suspek yang dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 33 tahun berjaya diberkas.
Pemimpin Negeri Saxony, Michael Kretschmer memberitahu, suspek sebelum ini mengalami gangguan mental.
Kenderaan yang dipandu suspek merempuh orang awam di kawasan Grimmaische Straße sebelum dia melarikan diri.
“Rempuhan menyebabkan 22 orang cedera, dengan dua daripada mereka parah,” kata Ketua Jabatan Bomba Leipzig, Axel Shuh.
Jurucakap Polis Leipzig, Susanne Luebcke pula berkata, kejadian berlaku pukul 5.35 petang (waktu tempatan).
“Sebilangan mangsa cedera dan malangnya, dua orang dilaporkan maut..
“Pihak kami berpendapat kejadian ini dilakukan oleh pelaku tunggal. Buat masa ini, tiada petunjuk yang menggambarkan wujudnya ancaman berterusan terhadap keselamatan orang awam,” kata Luebcke.
Pejabat pendakwa raya Leipzig mengesahkan dua warga tempatan iaitu wanita berusia 63 tahun dan seorang lelaki berusia 77 tahun terbunuh.
Setakat ini, tiada bukti motif politik atau agama dalam insiden tersebut. – AGENSI














