REMBAU – Sekumpulan peminat sejarah yang bernaung di bawah Persatuan Kartografi Melaka berjaya menemui struktur jambatan serta bangunan dipercayai berfungsi sebagai Stesen Kastam, di Kendong, di sini awal bulan ini.
Pengerusinya merangkap Ketua Pegawai Penyelidik, Etiquity Cartographic Research Centre, Shahrul Azzim Abd. Aziz berkata, lokasi bernilai tinggi buat sejarah negara itu terletak di laluan yang dilabel sebagai ‘cart tracks’ yang menghubungkan Kendong, Negeri Sembilan dengan Cherana Putih yang terletak di Melaka.
Menurut beliau, penemuan berkenaan juga disokong melalui sebuah artikel berita yang tersimpan dalam arkib perpustakaan dalam talian Singapura membabitkan seorang pemandu lori didakwa cuba menyeludup kira-kira 300 biji bateri lampu suluh pada 7 September 1934.
“Penemuan ini adalah hasil penelitian kita ke atas maklumat yang terpapar di dalam peta bertajuk Malacca tahun 1949 dan kita bandingkan kedudukan lokasi tersebut menggunakan Google Earth.
“Kita berjaya menemui fasiliti lama bersejarah ini yang berkemungkinan satu-satunya yang masih ada di negara ini di laluan ‘cart tracks’ atau laluan kereta lembu.
Ia merupakan sebuah laluan perdagangan utama yang digunakan kenderaan zaman dahulu seperti kereta lembu dan lain-lain kenderaan yang berfungsi dalam mengangkut hasil ekonomi antara negeri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Ujar Shahrul Azzim, buat masa ini, maklumat mengenai penemuan berharga tersebut sudah diketahui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihaknya juga berharap agar terdapat lanjutan kajian mengenai lokasi bersejarah tersebut.
“Ikutkan British tidak akan sesuka hati membuat binaan yang sebegini bagus pada zaman tersebut melainkan terdapat fungsi atau kepentingan tertentu. Kita lihat bangunan ini yang seperti pos Kastam ini mempunyai seni bina mozek serta pengudaraan di bahagian atasnya.
“Walaupun struktur ini sudah senget disebabkan terletak berhampiran laluan air, lokasi ini wajar dijaga atau dipulihara memandangkan terdapat nilai sejarah yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Kartografi Melaka, Mohd. Faizal Khusairy Razali berkata, lokasi itu bukan hanya merupakan khazanah buat Negeri Sembilan khususnya daerah Rembau, bahkan buat negara.
“Jadi, kita berharap agar lokasi yang terbiar ini dapat dibangunkan serta dipulihara sebagai sebuah lokasi bersejarah melalui dapatan yang diperoleh dalam kajian lanjutan.
“Sekiranya dilihat dari segi seni bina, nampak sebuah pondok yang berfungsi sebagai pos kastam.
“Harapan kami agar struktur ini dapat dipulihara semula memandangkan kami rasa sudah tidak banyak lagi di Malaysia ni, kemungkinan ini sahaja yang ada,” tambahnya.














