SHAH ALAM – Permintaan air di Selangor bagi kegunaan domestik dan komersial kini mencecah 5,370 juta liter sehari (JLH).
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, kerajaan negeri menjangkakan permintaan air di Selangor akan terus meningkat seiring peningkatan rakyat negeri itu.
“Pada masa ini, jumlah keupayaan pengeluaran air bersih daripada kesemua 34 Loji Rawatan Air (LRA) adalah 6,500 JLH sehari.
“Bagi memenuhi keperluan masa hadapan, empat LRA baharu sedang dan akan dibina,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) berhubung pelan jangka panjang kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air mencukupi di Selangor.
Menurut Izham, empat LRA yang sedang dibina ketika ini melibatkan LRA Sungai Rasau Peringkat 1, LRA Sungai Rasau Peringkat 2, LRA Labohan Dagang Fasa 2 dan LRA Langat 2 Fasa 2 yang dijangka siap pada 2027 dan 2031.
Kata Izham, tiga projek iaitu Sungai Rasau Peringkat 1, Sungai Rasau Peringkat 2 dan Langat 2 Fasa 2 dijangka menghasilkan 700 JLH air bersih setiap hari, manakala LRA Labohan Dagang Fasa 2 pula menambah 200 JLH sehari. – KOSMO! ONLINE














