KETUA jurulatih hoki lelaki negara, Brandon Carolan memberi isyarat jelas bahawa tiada lagi ‘zon selesa’ dalam skuad Speedy Tigers apabila membuka peluang kepada semua pemain untuk merebut tempat menjelang tiga kejohanan utama tahun ini.
Menurutnya, pemilihan pemain tidak lagi terhad kepada kelompok sedia ada, sebaliknya prestasi semasa menjadi penentu utama dalam usaha membentuk pasukan terbaik.
“Saya mahu melihat semua pemain dan sesiapa yang cukup bagus, kita akan bawa masuk. Semua pemain ada peluang dan tidak sepatutnya ada sekatan dalam pemilihan ketika ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap pemain benar-benar layak berada dalam skuad, selain memberi ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah.
“Satu-satunya cara untuk menilai pemain adalah dengan membawa mereka ke dalam skuad, berlatih bersama kumpulan sedia ada dan membuat perbandingan secara langsung,” ujarnya.
Dalam masa sama, Carolan turut memberi bayangan kemungkinan berlaku rombakan skuad dalam masa terdekat berdasarkan prestasi pemain dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) yang sedang berlangsung.
“Kita ada 26 pemain ketika ini, tetapi mungkin akan ada perubahan menjelang Mei. Ada beberapa pemain muda yang menunjukkan potensi dan kita perlu mula memberi peluang kepada mereka,” jelasnya.
Pada masa sama, Carolan menegaskan mentaliti baharu perlu diterapkan dalam kalangan pemain dengan menolak sebarang alasan menjelang kejohanan penting.
Sebagai rekod, Speedy Tigers bakal mengharungi jadual padat dengan menyertai Piala Negara-Negara Hoki di Cape Town Jun ini, diikuti Piala Dunia Hoki FIH 2026 di Belgium pada Ogos serta Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun pada September.














