KOTA BHARU – Bapa kepada pelajar yang maut selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam sudah memaafkan guru Pendidikan Islam yang terlibat dalam kejadian itu.
Mohd. Azaudin Abdullah, 43, berkata, buat masa ini, dia mahu menenangkan fikiran terlebih dahulu selepas kejadian mengejut menimpa arwah Nur Fatimatul Hawa, 13, sebelum mengambil tindakan seterusnya.
Menurutnya, dia akan berbincang dengan ahli keluarga yang lain termasuk kakak iparnya, Zuraifah Mohd. Noor, 43, yang menjaga arwah dan tiga adik-beradiknya yang lain.
“Saya sudah maafkan guru terbabit. Bagi saya, kalau orang minta maaf, kita sebagai orang Islam, kena maafkan. Saya perlu banyak berbincang dengan keluarga kerana didatangi ramai pihak yang menawarkan khidmat bantuan guaman.
“Buat masa ini, saya serahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dijalankan dengan telus. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah dan adik-adiknya kira-kira pukul 11 malam pada malam Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Azaudin memberitahu, dia sangat sedih kehilangan Nur Fatimatul Hawa atau lebih mesra dipanggil Hawa kerana arwah merupakan anak yang manja.
Menurutnya, dia juga sempat mencium pipi dan bersalaman dengan arwah anaknya itu sebelum pulang ke rumah ibu saudara.
“Saya tidak sangka ciuman untuk Hawa pada malam itu merupakan pertemuan kali terakhir sebelum dia pergi meninggalkan kami sekeluarga.
“Hawa merupakan anak ketiga dari empat beradik dan dia paling manja dengan saya. Percakapan dan tutur katanya sangat lembut,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang guru Pendidikan Islam yang dipercayai tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu di depan surau SMK Tanjong Mas di sini semalam sudah tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Zuraifah berkata, dia bertemu dengan wanita berusia 57 tahun itu sewaktu hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini semalam.
Katanya, penjawat awam tersebut segera memeluknya ketika bertemu mata buat pertama kali selepas kejadian tersebut.
“Guru itu memohon maaf kepada saya dan menyatakan dia tidak sengaja tertekan pedal minyak SUV dipandunya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














