SUATU ketika dahulu basikal merupakan antara mod pengangkutan yang sangat popular sebelum kemunculan enjin canggih dan selepas itu ia menjadi salah satu aktiviti riadah untuk kesihatan serta mengisi hobi masa lapang.
Namun kini, di negara-negara maju popularitinya kembali yang turut menjadi pengangkutan seharian penduduk untuk ke sekolah, tempat kerja dan menjalankan pelbagai tugas. Penyediaan infrastruktur yang baik untuk berbasikal membuatkannya semakin menjadi tempat di hati masyarakat.
Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara yang menggunakan basikal paling banyak di dunia seperti dilaporkan oleh Rankingroyals.com.
1- Belanda
PENGGUNAAN basikal di Belanda adalah perkara biasa yang menjadi mod pengangkutan untuk jarak dekat dan jauh. Malah, Belanda dikenali sebagai salah satu negara paling mesra basikal di dunia dengan infrastruktur berbasikal yang maju dan budaya berbasikal yang kuat.
Belanda sebenarnya mempunyai lebih banyak basikal per kapita berbanding negara Eropah yang lain sejak tahun 1911 sehingga dikenali sebagai ‘tanah basikal’.
Terdapat kira-kira 23 juta basikal di Belanda. Jumlah itu menunjukkan lebih banyak basikal daripada jumlah penduduknya iaitu 18 juta. Ia bersamaan dengan purata 1.3 basikal setiap orang di Belanda dan kira-kira 680 basikal setiap kilometer persegi. Malah, data menunjukkan bahawa kira-kira 2.3 peratus basikal di dunia adalah berada di Belanda.
2- Denmark

BASIKAL merupakan mod pengangkutan yang sangat popular di Denmark, dengan ramai rakyat Denmark menggunakannya untuk pergi ke tempat kerja, sekolah atau menjalankan tugas. Dikatakan ‘rakyat Denmark secara praktikalnya dilahirkan dengan basikal’. Malah, Denmark terkenal dengan rangkaian laluan basikalnya yang luas, menjadikan berbasikal sebagai pilihan yang selamat dan mudah bagi ramai orang.
Sebanyak 18 peratus daripada semua perjalanan di Denmark dibuat dengan menaiki basikal. Setiap orang mengembara 1.6 kilometer dengan basikal secara purata. Denmark mungkin tidak mempunyai kadar pemilikan basikal per kapita tertinggi di dunia tetapi ibu kota negara itu, Copenhagen, menewaskan Amsterdam untuk gelaran bandar paling mesra basikal pada 2015. Kerajaan Denmark telah membuat pelaburan yang besar dalam infrastruktur berbasikal, termasuk lorong basikal, jambatan basikal dan kemudahan tempat letak basikal. Di samping itu, banyak tempat kerja menawarkan tempat letak basikal dan bilik persalinan untuk pekerja berbasikal ke tempat kerja.
3- Jerman

SETERUSNYA, Jerman mempunyai budaya berbasikal yang meriah dengan anggaran 81 juta basikal di negara ini pada 2021. Berbasikal merupakan pengangkutan biasa untuk perjalanan ulang-alik dan riadah.
Malah, banyak komuniti telah membuat pelaburan dalam kemudahan dan lorong khusus berbasikal. Basikal digunakan untuk 9 peratus daripada semua perjalanan di Jerman. Jarak perjalanan harian setiap penduduk ialah 0.9 kilometer.
Salah satu acara tahunan berbasikal paling terkenal di Jerman ialah Jelajah Deutschland yang berlangsung pada bulan Ogos.
Pada bulan ini, orang ramai digalakkan untuk berbasikal ke tempat kerja atau sekolah dan banyak bandar menganjurkan acara serta aktiviti untuk mempromosikan kegiatan berbasikal.
4- Sweden

SEBANYAK 64 peratus daripada jumlah penduduknya merupakan penunggang basikal. Basikal dalam keluarga di Sweden adalah sesuatu yang sama pentingnya dengan televisyen.
Sweden merupakan satu lagi negara dengan budaya berbasikal yang meriah dan infrastruktur berbasikal yang luas. Kira-kira 12 peratus daripada semua perjalanan di Sweden dilakukan dengan berbasikal dan banyak bandar telah melabur dalam laluan serta kemudahan berbasikal khusus.
Di bandar seperti Stockholm, Gothenburg dan Malmö, ramai orang menggunakan basikal untuk berulang-alik ke tempat kerja atau sekolah, menjalankan tugas atau menikmati aktiviti luar. Oleh itu, bandar-bandar ini mempunyai infrastruktur berbasikal yang dibangunkan dengan baik.
5- Norway

PENGGUNAAN basikal di Norway telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun Norway secara tradisinya dikenali kerana kecintaannya terhadap kereta, negara itu kini sedang berusaha secara sedar untuk mempromosi berbasikal sebagai mod pengangkutan alternatif berdaya maju.
Di Norway, dengan populasi 5.43 juta orang, 61 peratus penduduk di negara ini ialah penunggang basikal. Satu lagi faktor menyumbang kepada pertumbuhan kegiatan berbasikalnya ialah populariti e-basikal. E-basikal semakin popular di Norway terutama kalangan orang tua dan mereka yang tinggal di kawasan berbukit. E-basikal memberi rangsangan tambahan semasa berbasikal, menjadikannya lebih mudah untuk mengatasi bukit dan angin.














