IPOH – Profesionalisme dan disiplin dalam bidang penjagaan kesihatan serta kecantikan wanita terus diperkasa menerusi majlis pelancaran Aora Spa & Wellness di Station 18 di sini.
Pemiliknya, Rohayu Mat Isa, 37, berkata, spa berkenaan yang mula beroperasi pada Februari lalu menjadi medan baginya untuk menyantuni golongan wanita yang memerlukan rawatan demi kesejahteraan diri.
Katanya, dia bersyukur kerana usahanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang tidak putus-putus mengunjungi premisnya sejak hari pertama ia dibuka dengan angka terkini menunjukkan hampir 100 wanita menjadi pelanggan spa berkenaan setiap bulan.
“Alhamdulillah, perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan seperti urutan badan, sauna serta rawatan wajah (facial) mendapat maklum balas baik daripada pelanggan dan ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus menawarkan servis terbaik.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua tetamu, keluarga, sahabat, pelanggan serta semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! selepas menghadiri Majlis Pelancaran Aora Spa & Wellness di Station 18 di sini semalam.

Hadir menyempurnakan majlis pelancaran spa berkenaan ialah Pengarah Mara Perak, Yuhaniz Mohamad Padil.
Rohayu berkata, perjalanannya untuk membuka spa berkenaan bermula pada Mei tahun lalu apabila dia menyertai program Aora Spa & Wellness anjuran Majlis Amanah Mara (Mara).
Kata ibu kepada dua orang anak itu, pelbagai ilmu dipelajarinya di bawah program berkenaan yang mana ia diaplikasikannya dalam pengendalian perniagaan spa berkenaan setiap hari.
“Selain itu, Mara juga masih membantu saya selaku usahawan yang bernaung di bawahnya, antaranya menerusi kursus-kursus berkaitan perniagaan dari semasa ke semasa.
“Aora Spa & Wellness ini lahir daripada sebuah impian untuk menyediakan perkhidmatan kecantikan dan kesejahteraan yang berkualiti, profesional dan selesa untuk semua pelanggan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rohayu berkata, sambutan menggalakkan daripada orang ramai berkenaan diterjemahkan dalam bentuk keuntungan diperoleh.
“Sebelum ini saya telah menjalankan perniagaan AyuZhaf Salon di lokasi sama, namun apabila Aora Spa & Wellness dibuka, berlakunya peningkatan pendapatan sehingga 60 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya menawar beberapa pakej rawatan istimewa sempena pelancaran spa tersebut, antara pakej urutan seluruh badan sebanyak lima sesi pada harga RM399.
Antara lain ditawarkan, katanya, ialah pakej rawatan wajah dan urutan (tiga sesi) pada harga RM450.
“Pelanggan kami terdiri daripada golongan wanita berusia antara 17 hingga 65 tahun. Semuanya diberikan layanan terbaik dan profesional oleh enam kakitangan spa ini.
“Tidak kiralah perkhidmatan apa yang diambil seperti pakej pengantin atau penutup pantang, kami akan berikan servis yang memuaskan hati pelanggan kerana kepuasan mereka sentiasa menjadi keutamaan Aora Spa & Wellness Ipoh,” katanya.














