AYA SOFEA (kanan) mengasaskan Elysian Medispa bersama Siti (tengah) dan Fila (kiri).

Keberanian setelah 20 tahun sumbang ‘air tangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPENGALAMAN lebih 20 tahun dalam bidang spa, rawatan kecantikan dan estetik meyakinkan wanita ini untuk mula ‘bergerak’ sendiri tanpa hidup makan gaji.

Bagi Zulrayal Zulailan atau lebih mesra disapa Aya Sofea, keputusan nekadnya untuk membuka sebuah medispa miliknya sendiri bukanlah satu kesilapan, malah kejayaan buatnya.

Berbekalkan pengalaman bekerja dengan majikan, sudah tiba masanya dia membuka perniagaan sendiri berjenama Elysian Medispa yang mula beroperasi sejak Januari lalu.

Meskipun masih ‘hijau’ dan baru beroperasi empat bulan, penerimaan pelanggan terhadap pakej serta perkhidmatan ditawarkan begitu menggalakkan, bahkan sudah menjadi pilihan kalangan artis atau selebriti.

Menimba pengalaman bidang kecantikan dan estetik dari zaman dirinya anak dara sehingga kini sudah berumah tangga dan beranak empat, akhirnya Aya nekad untuk membuka spa perubatan atau medispa sendiri.

“Sejak 2006 lagi saya bekerja dalam bidang kecantikan dan medispa.

“Berbekalkan pengalaman yang ada itu, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bergerak sendiri, berbanding bekerja dengan orang,” katanya membuka bicara bersama K-Wanita.

Meneruskan perkongsian, pengarah urusan merangkap konsultan berusia 41 tahun tersebut memberitahu dia membuka medispa yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu bukan secara berseorangan.

Antara artis yang telah mendapatkan khidmat rawatan di Elysian Medispa ialah penyanyi Siti Saerah (kanan) dan Umairah (tengah).

Menurutnya, sejak bujang, dia menceburi bidang tersebut dan sama-sama bekerja mencari pengalaman dengan sepupunya, Siti Fatimah Abd. Halim.

Lebih menarik, selepas Aya Sofea mencetuskan idea bisnes tersebut, dia mengasaskan Elysian Medispa bersama Siti dan juga penyertaan seorang lagi rakan mereka iaitu Norsahfila Sofian atau Fila sebagai pengasas bersama.

“Sejak bujang saya dan sepupu iaitu Siti bekerja bersama-sama sebagai pembantu klinik di salah sebuah klinik swasta terkemuka di Kuala Lumpur.

“Daripada menawarkan perkhidmatan perubatan biasa, klinik tempat kami bekerja itu mula menambah baik perkhidmatan dengan menawarkan klinik estetik.

“Dari situlah minat kami dalam bidang kecantikan dan estetik bermula,” katanya.

MENYOROT mengenai latar belakang dirinya, Aya Sofea yang berasal dari Pahang berkata, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia telah mengikuti beberapa kursus pendek dalam bidang kecantikan, khususnya rawatan wajah (facial).

“Walaupun bermula dengan asas tersebut, kebanyakan kemahiran saya dibentuk melalui pengalaman praktikal, latihan berterusan dan pembelajaran secara hands-on dalam industri. Saya percaya pengalaman sebenar bersama klien banyak membantu saya memahami keperluan mereka dengan lebih mendalam.

“Maka, hujung 2025 menjadi titik tolak yang mana saya dan Siti mula berfikir untuk bergerak sendiri berbekalkan pengalaman dan sedikit modal yang ada.

“Rencana tersebut dikuatkan lagi apabila Fila, rakan yang lama kami kenali berminat untuk turut melabur sebagai pengasas bersama syarikat. Fila banyak memberi kata-kata positif kepada kami berdua hingga sanggup memberi sokongan dari segi dana kewangan sepenuhnya.

“Meskipun dia (Fila) tidak mempunyai apa-apa latar belakang mahupun pengalaman dalam bidang estetik, namun minat mendalamnya dalam kecantikan juga membuatkan dia sanggup menawarkan diri menjadi rakan kongsi,” katanya.

Aya Sofea berkata, mereka bersyukur meskipun Elysian Medispa yang dibuka di Wangsa Maju, Kuala Lumpur masih ‘mentah’, namun mereka mampu menawarkan perkhidmatan terbaik. Selain mengoperasikan perniagaan bertiga, syarikat turut dibantu dua kakitangan yang memfokuskan dari segi pentadbiran dan pemasaran.

“Di Elysian, kami sendiri akan turun padang untuk bertemu pelanggan dan berikan rawatan serta perkhidmatan kepada mereka. Fokus kami mahu memberi kepuasan kepada pelanggan untuk merasa sendiri ‘air tangan’ dari kesemua pengasas Elysian Medispa,” ujarnya.

Berkongsi mengenai cabaran, Aya Sofea tidak menafikan premis turut berdepan kekangan tertentu lebih-lebih lagi mereka merupakan pendatang baharu di pasaran.

Cabaran pertama ujarnya sudah tentu dari segi pemasaran pada peringkat permulaan operasi diperkenalkan.

“Selain daripada pelanggan sedia ada di tempat lama bekerja sebelum ini, kami turut berdepan cabaran mencari pelanggan baharu.

“Berbekalkan iklan dan pemberitahuan dalam media sosial, kami juga terpaksa meminta bantuan rakan-rakan rapat dan daripada pelanggan sedia ada untuk mereka bantu dari segi rekomendasi,” katanya.

Cabaran lain pula adalah ketika mana mereka terpaksa bekerja keras pada bulan Ramadan Februari lalu memandangkan operasi baru bermula sebulan sebelumnya.

“Meskipun berpuasa, permintaan diterima sangat positif. Cumanya kami harus korbankan masa sepanjang bulan mulia itu untuk membantu pelanggan.

“Usai berbuka puasa sahaja, kami mulakan rawatan kepada pelanggan yang sudah lakukan temu janji sebelumnya.

“Hampir sebulan berpuasa, kami bertiga habis kerja sampai pukul 2 ke 3 pagi. Lagi hendak dekat raya, lagi sibuk. Malah, ada juga beberapa hari kami bekerja sampai lepas sahur baru pulang ke rumah dan bertemu anak-anak serta suami,” katanya.

Berkongsi keunikan Elysian Medispa, Aya Sofea memberitahu mereka sentiasa menawarkan rawatan terkini dengan harga berpatutan serta pakej menarik.

“Teknologi dan produk yang kami bawa serta gunakan juga premium setanding standard yang digunakan di klinik yang fokus pada keselamatan, keberkesanan dan hasil optimum,” katanya.

Bercakap soal perancangan masa depan, syarikat merancang untuk mengembangkan Elysian dengan membuka cawangan baharu di lokasi strategik.

Ia seiring rencana mereka menambah rawatan berteknologi moden dan membina jenama yang dikenali sebagai medispa premium serta dipercayai di Malaysia.

Tidak setakat itu, Elysian turut mahu melahirkan pasukan yang profesional dan berkemahiran tinggi dengan latihan berterusan dalam bidang kecantikan dan estetik khususnya.

Tambah Aya Sofea, dalam masa terdekat, syarikat bakal keluarkan produk penjagaan kulit jenama sendiri dan sekarang masih berada dalam proses kajian dan penyelidikan.

Perancangan itu dilakukan kerana mereka sudah terbiasa memberi perundingan mengenai penjagaan kulit wajah kepada pelanggan termasuk daripada golongan kenamaan dan artis sejak dari zaman bekerja makan gaji.

“Jadi, sudah tiba masanya kami berkongsi bersama semua pelanggan dan hadir dengan produk sendiri nanti.

“Selain itu selain berada di premis, kami juga sering dijemput kenalan rapat untuk memberi perkongsian mengenai rawatan kecantikan dan penjagaan kulit secara berkumpulan (acara syarikat mahupun persendirian).

“Ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk mencurah dan berkongsi ilmu kami untuk generasi akan datang dan tidak mustahil Elysian Medispa bakal ada akademi sendiri kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN