BERDEPAN kesukaran mencari pusat penjagaan rambut yang benar-benar memahami keperluan Muslimah menjadi titik tolak kepada Siti Nur Rahmah, 38, untuk mengasaskan pusat terapi rambut kaum Hawa.
Berpegang kepada prinsip itu, maka lahirlah Siikat Natural Headspa (Siikat) khusus buat wanita berhijab yang menawarkan rawatan kulit kepala berasaskan bahan semula jadi dengan pendekatan kesejahteraan holistik.
Kewujudan Siikat turut memenuhi keperluan wanita yang mencari ruang rehat selamat, privasi dan pemulihan diri sebenar.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Siikat, Siti Nur Rahmah, spanya bukan sekadar pusat rawatan rambut konvensional, sebaliknya memberi tumpuan kepada kesihatan kulit kepala yang dianggap sebagai asas kepada kesejahteraan keseluruhan tubuh badan.
Jelasnya, konsep ‘natural head spa’ yang diketengahkan berpaksikan kepercayaan bahawa kesihatan dalaman bermula daripada kulit kepala yang berkait rapat dengan fungsi organ-organ penting dalam tubuh.
“Kami mementingkan bahan dan rawatan yang memberi fokus kepada kesejahteraan semula jadi.
“Apa yang membezakan Siikat adalah niche natural head spa kerana kami percaya kesihatan keseluruhan bermula daripada kulit kepala yang mewakili banyak organ dalam tubuh badan,” katanya kepada K-Wanita.
Anak jati Johor Bahru, Johor itu turut memaklumkan, konsep spa wanita turut diperkenalkan bagi menyediakan ruang yang selesa dan privasi, khususnya kepada mereka yang berhadapan isu tekanan, migrain serta keletihan mental akibat gaya hidup moden.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, latar belakang lebih 15 tahun dalam industri korporat minyak dan gas turut menjadi pencetus kepada penubuhan Siikat.
Siti Nur Rahmah berkata, dia sendiri pernah berdepan episod migrain dan keletihan melampau sehingga mendorongnya mencari solusi alternatif yang lebih selamat berbanding pengambilan ubat secara berterusan.
“Selain daripada makan ubat, saya mencari banyak solusi lain.

“Saya gemar ke spa untuk rawatan rambut dan kepala, tetapi masalahnya kita tidak tahu bahan apa yang digunakan.
“Jadi sebagai individu yang mementingkan kesejahteraan, saya sangat menitikberatkan bahan natural. Daripada pengalaman itu, saya membangunkan Siikat,” katanya.
Menyorot kembali titik tolak wanita ini meninggalkan zon selesa untuk mengejar impian keusahawanannya, dia awalnya mendalami ilmu formulasi organik serta terapi semula jadi melalui pelbagai kursus di dalam dan luar negara.
“Rambut adalah mahkota wanita yang menyimpan seribu cerita daripada perubahan hormon selepas melahirkan anak, tekanan kerja sehingga cabaran wanita bertudung.
“Kami mahu menawarkan lebih daripada rawatan biasa iaitu pengalaman yang memulihkan keyakinan, ketenangan dan kekuatan dalaman,” katanya.
Selain rawatan kepala, Siikat turut menyediakan penjagaan wajah, urutan badan, sauna, jakuzi dan terapi minyak pati dengan pendekatan lembut serta semula jadi.
Bermula dengan dua katil di spa pertama di Bangi, Selangor menggunakan modal sendiri pada November 2024, Siikat kini memiliki lima cawangan termasuk Bangi,
Semenyih, Setia Alam, Kajang dan terbaharu di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Kejayaan jenama itu juga dilihat sebagai platform memperkasakan wanita melalui peluang pekerjaan dan latihan kemahiran menerusi penubuhan Siikat Academy.
Siikat Academy berperanan sebagai pusat berasaskan pendidikan latihan dan vokasional (TVET) bagi melahirkan terapis profesional dan usahawan dalam industri kesejahteraan.
Melangkah ke hadapan, Siikat optimis untuk berkembang ke pasaran antarabangsa termasuk Indonesia dan negara Asia Barat.
Menurut Siti Nur Rahmah, pada September ini, cawangan baharu akan dibuka di Rimbayu Sanctuary Mall, Setia Alam dengan jenama baharu, Siiora khusus untuk lelaki.
Orang ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman rawatan kesejahteraan yang ditawarkan boleh mengunjungi mana-mana cawangan Siikat. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi atau Instagram Siikat.














