PETALING JAYA – Bersempena sambutan Hari Ibu pada bulan Mei, Anantara Desaru Coast Resort & Villas di Desaru Coast, Johor menawarkan pengalaman percutian menerujakan dengan penuh kemewahan kepada keluarga yang mahu meraikan orang tersayang.
Pada hujung minggu ini, Sedili Garden Resort akan menganjurkan pengalaman eksklusif berkonsepkan ‘Garden of Love’, bagi wanita paling penting dalam hidup sesebuah keluarga dengan sambutan alfresco yang penuh kehangatan dan kegembiraan.
Berlatar belakangkan pemandangan indah daripada bar infiniti dan kolam renang serta dikelilingi flora tropika selain cahaya semulajadi, pengalaman menikmati menu makanan lazat bersama ibu dan keluarga, menjadikan suasananya cukup menenangkan bagi keluarga yang berkumpul.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setiap ibu yang diraikan bersempena Hari Ibu di resort itu bakal menikmati penjimatan sehingga 50 peratus bagi menikmati set makanan yang ditawarkan pada harga penuh RM218 seorang dan juga menerima hadiah kenangan.

“Sebelum itu, pengunjung juga akan menikmati pembuka selera berasaskan warisan, hidangan dari stesen memasak secara langsung serta pencuci mulut istimewa yang diinspirasikan dengan aroma bunga halus dan rasa tradisional yang menenangkan,” jelasnya.
Selain itu, sepanjang bulan Mei ini, istimewa untuk para ibu dan anak perempuan mereka, boleh berkunjung ke Anantara Spa untuk menikmati pengalaman memanjakan diri berkonsepkan Blissful Bond yang ditawarkan pada harga RM1,480++ untuk dua orang.
Perkhidmatan spa selama 100 minit secara bersebelahan itu akan dimulakan dengan sesi lulur badan lembut, diikuti urutan aromaterapi dan urutan muka limfatik yang menenangkan.
Pilihan lain untuk ibu juga adalah pakej Moment for Mum selama 90 minit yang menggabungkan facial khas yang meningkatkan seri wajah dan urutan belakang yang melegakan ketegangan. Pengalaman ini diteruskan di Turmeric dengan afternoon tea elegan untuk dua orang (MYR 680++ satu set).

Dalam pada itu, bagi mereka yang mahu menginap mencipta momen lebih indah bersama orang tersayang, resort juga menawarkan pakej Ultimate Family Escape termasuk sarapan dan makan malam harian di Turmeric untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak.
Antara kemudahan lain disediakan adalah isian semula minibar percuma sekali sehari; lawatan berpandu ke Desaru Fruit Farm untuk seisi keluarga dan pengalaman kulinari Spice Spoons secara praktikal untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak.
Selain daripada pakej yang disusun, keluarga boleh menemui hidupan liar tempatan seperti lotong kelabu dan biawak, meneroka pesisir pantai melalui lawatan bot sungai bakau berpandu, atau berehat dengan ritual spa khas dan program kesejahteraan.
Bagi pengunjung yang di Residences eksklusif, mereka juga menikmati layanan penuh perhatian daripada butler peribadi bagi memastikan setiap detik berjalan lancar dan penuh kenangan. -KOSMO! ONLINE














