fbpx
Bro Ben menunjukkan klip video dia membantu individu lain memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Seberang Perai baru-baru ini.

Bekas gengster bantu 100 individu peluk Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Pengalaman dibuli senior sewaktu di bangku sekolah rendah sehingga memaksa dirinya terjebak ke dunia kongsi gelap tidak menghalang seorang lelaki Cina untuk berubah dan ­ak­hirnya memeluk Islam.

Ooi Chooi Beng atau lebih dikenali sebagai Bro Ben, 44, berkata, dia tidak menyangka boleh berubah setelah mengharungi pelbagai peristiwa ‘hitam’, terjerumus ke dalam dunia gengster serta melakukan kegiatan haram seperti along.

Cerita bapa kepada tiga anak itu, kehidupannya suatu ketika dahulu dipenuhi kebencian terhadap Islam akibat trauma yang dialami ketika zaman persekolahan kerana menjadi mangsa buli fizikal dan mental oleh senior.

“Saya bersekolah rendah di Butterworth dan ketika itu menjadi golongan minoriti. Saya selalu diejek, dipukul dan dipanggil dengan pelbagai gelaran. Disebabkan masih kecil, saya tak tahu bezakan antara individu dengan agama.

“Saya ingat Islam itu Me­layu dan Melayu itu Islam. Jadi saya membesar dengan rasa marah dan benci sehinggalah tamat persekolahan di tahun enam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Pulau Pinang di Bukit Mertajam di sini, baru-baru ini.

Penghijrahan Bro Ben bermula selepas dia bernikah dengan isterinya pada 2004 sebelum dibawa bertemu bapa mentuanya.

Menurut Ben Ooi, perasaan trauma dibuli menyebabkan dia mula terlibat dengan satu kumpulan kongsi gelap ketika berada di tingkatan satu dan direkrut menjadi ahli di kawasan tempat tinggalnya di Perai.
Beliau berkata, penglibatan­nya itu bermula sekadar ahli bia­sa sebelum dia diberi ‘mandat’ sebagai ‘taiko sekolah’ kerana sering terlibat dalam pergaduhan.

“Saya rasa ada kuasa sebab ada ramai kawan dan kumpulan sendiri. Masa itu, saya memang kaki lawan dan cari gaduh. Saya rasakan, itulah cara saya lepas geram setelah menjadi mangsa buli.

“Sejak itu, kehidupan saya semakin jauh tersasar sehingga ke alam dewasa apabila terbabit dalam kegiatan along, aktiviti perjudian dan mengurus pub. Ketika itu, ibarat dunia seperti saya yang punya,” dakwanya.

Namun katanya, titik perubahan dirinya mula hadir ketika usia 21 tahun selepas mengenali dan berkahwin dengan wanita Indonesia beragama Islam pada tahun 2004.

“Walau isteri beragama Islam tetapi saya masih tidak dapat tinggalkan cara hidup lama. Kami tinggal sebumbung tapi masing-masing hidup dengan agama sendiri. Hati saya begitu ‘keras’ sehinggalah dia mengajak saya pulang bertemu keluarganya setelah beberapa tahun kami mendirikan rumah tangga.

“Kali pertama berjumpa bapa mentua, dia peluk saya… ajak ambil wuduk bersama dan solat buat pertama kali di rumahnya. Malah, dia bawa saya ke masjid untuk solat berjemaah bersama penduduk kampung selama se­minggu berada di sana.

“Saya dapat ketenangan apabila dapat sujud kali kedua di masjid. Saya ambil masa lama untuk mendalami Islam sehinggalah pada tahun 2017, saya akhirnya memeluk Islam hasil bimbingan pengasas Interaktif Dakwah dan Tarbiah, Bro Lim Jooi Soon,” ujarnya.

Akuinya, dia berdepan ujian yang bertubi-tubi sejak memeluk Islam, namun menganggap ia sebagai cabaran yang perlu dihadapi oleh saudara baharu.

“Saya tiada pilihan dan terpaksa tutup pub, jelaskan hutang dengan tauke along sebanyak RM150,000, jual rumah dan kereta Mercedes Benz untuk tutup hutang. Saya memang niat nak ‘cuci tangan’ sepenuhnya.

“Saya belajar tawakal dan ­ingat Allah itu wujud. Isteri tidak henti-henti beri sokongan. Waktu itu, saya mula ikut rakan pertubuhan bukan kerajaan untuk hadir ke sesi ceramah sejak 2018.

“Saya pusing hampir satu Malaysia untuk kongsi sebarkan pengalaman lampau, belajar ilmu agama dan sampaikan keindahan Islam kepada orang bukan Islam.

“Bagi saya, hidayah itu milik Allah, Kita hanya sampaikan tetapi jangan sesekali berputus asa,” tambahnya yang turut membantu lebih 100 individu lain untuk memeluk Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN