JITRA – Seorang kanak-kanak perempuan autistik yang dilaporkan hilang sejak pukul 8 pagi tadi ditemukan terapung di kolam takungan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, di sini petang ini.
Mayat mangsa, Mya Khadeeja Suraidi, 6, dikatakan dijumpai oleh orang awam sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Jasad mangsa kemudian dibawa keluar dari kolam oleh anggota bomba pada pukul 4.50 petang. Ketika kejadian, mangsa memakai baju berwarna biru dan lampin pakai buang.
Anggota forensik turut berada di lokasi untuk melakukan siasatan.
Terdahulu, seorang kanak-kanak disedari hilang oleh kakaknya sebelum bapa mereka membuat laporan polis. Ahli keluarga cuba mencari mangsa di sekitar kawasan perumahan, namun gagal menemuinya. Semasa kejadian, ibu mangsa dikatakan menghadiri kursus di Kuala Lumpur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan pukul 4.26 petang dan sebaik tiba di lokasi, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di kolam tersebut.
“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim mengesahkan penemuan mayat mangsa. – KOSMO! ONLINE














