SEREMBAN – Padah memiliki lebih 8,000 bahan pornografi dewasa dan kanak-kanak, seorang pembantu gerai roti canai terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Amirul Syafiq Rahmat, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan. Mahkamah mengarahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan pada 6 April lalu.
Tertuduh juga dikehendaki menjalani kaunseling pemulihan selama setahun selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki bahan penganiyaan seksual kanak-kanak berbentuk video dan gambar lucah kanak-kanak dalam telefon bimbit di persimpangan lampu isyarat Jalan Pajam, Nilai pada 6 April lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana dia hanya membantu bapanya berniaga roti canai dan tinggal bersama ibu serta kakak.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi bagaimanapun memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira fakta kes penemuan lebih 8,129 bahan pornografi dewasa dan kanak-kanak dalam peranti elektronik yang dirampas.- KOSMO! ONLINE














