fbpx
MOHAMAD SHAQIR IZANI (tengah) setia menjaga bapa (kanan) dan neneknya ketika ditemui di Taman Ria, Port Dickson semalam. – NOR AINNA HAMZAH

[VIDEO] Raih 9A SPM berkat jaga ayah OKU, nenek derita tiga kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – “Alhamdulilah berkat jaga nenek yang sakit kanser serta doa ayah (Mohamad Shahir Alias, 43) dan ibu (Nooraini Mohd. Ramlan, 40) saya berjaya dapat 9A.”

Demikian ujar pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Mohamad Shaqir Izani Mohamad Shahir, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad, di sini.

Dia yang turut mendapat 9A termasuk 6A+ tetap setia menjaga bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) serta neneknya yang menderita tiga penyakit kanser.

“Tanggungjawab ini tidak sedikit pun membebankan saya lebih-lebih lagi impian saya adalah bagi mengubah masa depan keluarga supaya hidup mereka lebih selesa.

“Ada ketika saya meminta kebenaran pihak sekolah untuk tidak hadir kerana menemani nenek, Salasiah Ismail, 72, ke hospital mahupun Institut Kan­ser Negara (IKN). Hampir setiap hari, saya ke rumah nenek serta ayah bagi menguruskan mereka termasuk memasak.

“Saya harap mereka akan dapat melihat saya berjaya nanti mengapai cita-cita sebagai guru selepas tamat pengajian di peringkat yang lebih tinggi lagi dalam bidang pengajian agama,” katanya ketika ditemui di Taman Ria, di sini semalam.

Dia sudah memohon menyam­bung pengajian di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Ujar Mohamad Shahir yang sudah bergelar OKU sejak 16 tahun lalu pula, dia sangat bersyukur apabila anak tunggalnya itu setia menemaninya serta neneknya lebih-lebih lagi dengan ujian kesihatan itu.

“Tekad Adik (Mohamad Shaqir) untuk cemerlang dalam pelajaran amat tinggi. Masa itu, saya hairan juga ta­ngannya tak lepas daripada pegang telefon bimbit, bila lihat rupa-rupanya dia sedang ikuti tuisyen online,” katanya.

Mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal, selain ibunya pula merupakan penerima pencen bulanan sebagai jururawat masyarakat.

Sementara itu, Salasiah kini menguatkan semangatnya untuk tetap terus sihat bagi memberi semangat buat cucunya cemerlang dalam pembelajaran serta anak sulungnya yang juga OKU.

“Saya kanser uterus saya pada 2017 selepas darah turun tidak henti-henti seperti datang bulan, sebelum turut disah hidap kanser payudara dan kini satu lagi kanser dikesan dalam badan.

“Kanser uterus dan payudara kini tahap tiga. Memang perlu ulang-alik ke hospital dan cucu saya inilah yang bawa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN