PETALING JAYA – “Jika anda rasa April masih panjang, akaun bank pula sudah di tahap kritikal, dan Budi95 (Budi Madani RON95) hampir cecah kuota… anda tidak sendiri.”
Itu antara perkongsian Public Health Malaysia (PHM) mengenai situasi terkini segelintir masyarakat yang sedang ‘tabah’ menanti gaji seterusnya.
Ia berikutan majoriti majikan, syarikat dan pertubuhan memberikan gaji lebih awal daripada kebiasaan pada Mac lalu bagi memudahkan persediaan orang ramai menyambut Aidilfitri.
PHM menambah, mereka yang berdepan situasi itu tidak sendirian kerana masih ramai sedang mengalami perkara serupa.
“Ramai sedang bertahan diam-diam, sambil kira baki yang makin menipis. Juga hati yang semakin risau,” kata PHM di media sosial.
Hantaran itu meraih perhatian orang ramai yang turut meninggalkan pendapat mereka dalam berdepan situasi tersebut pada ruangan komen.
“Kawal pengurusan kewangan. Kena tahu apa keperluan dan kehendak. Utamakan barang keperluan,” ujar seorang pengguna.
“Kereta pula tiba-tiba mati tengah jalan. Semoga dipermudahkan urusan semua, kekal tenang…,” komen pengguna lain.
“Jangan malu untuk buat dua atau tiga kerja,” cadang @Ejam Western. – KOSMO! ONLINE














