fbpx
Dua gajah denak iaitu Cheri dan Rambai membantu memindahkan Man 10 yang ditangkap di Felda Aring 10, Gua Musang hari ini. Foto AIMUNI TUAN LAH

Dua gajah rosakkan tanaman penduduk Felda Aring 10 dan 11 ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Ketakutan berdepan kehadiran gajah liar menyebabkan 500 penduduk dan pekerja di kawasan Felda Aring 10 dan 11 di sini terpaksa mengehadkan pergerakan dan jarang keluar rumah pada waktu malam sejak hampir dua tahun lalu.

Kebimbangan itu bagaimanapun berakhir apabila dua ekor gajah jantan yang diberi nama Man 10 dan Hafiz 11 berjaya ditangkap dan dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.

Seorang pekerja ladang, Muhamad Haika Mohd. Zali, 34, berkata, sebelum ini, haiwan berkenaan hanya muncul sekali-sekala, namun sejak kebelakangan ini semakin kerap berkeliaran di kawasan perumahan termasuk berhampiran asrama pekerja sejak tiga bulan lalu.

Katanya, dua ekor gajah liar itu bertindak merosakkan tanaman termasuk anak kelapa sawit, pokok hiasan dan tanaman di sekitar kediaman.

“Sebelum ini, gajah liar masuk ke kawasan ini dalam tempoh sementara sahaja. Dua ekor gajah itu memang kerap berada di kawasan perumahan kita.

“Kita sudah buat laporan kepada Perhilitan dan tindakan telah diambil. Saya harap dengan tertangkapnya dua haiwan itu, gajah-gajah lain tidak akan masuk lagi ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Aring 10 di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ainina Afiqah Mohamad Rotik, 29, berkata, gangguan tersebut bukan sahaja merosakkan tanaman seperti pisang dan landskap rumah, tetapi turut menjejaskan keselamatan penduduk apabila haiwan itu semakin berani menghampiri kediaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN