GUA MUSANG – Laluan lencongan sementara di FT185 Seksyen 107.60, Jalan Lojing-Gua Musang dekat Pos Blau di sini yang sebelum ini terjejas akibat tanah runtuh dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula pukul 5 petang ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) bagaimanapun memaklumkan, pengguna jalan raya diingatkan agar terus berwaspada kerana kerja-kerja pembaikan cerun masih giat dijalankan di lokasi terbabit.
“Pengguna jalan raya juga perlu mengurangkan had laju dan sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan tersebut. Langkah berjaga-jaga itu penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, lencongan sementara di Kilometer45, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau di sini dijadualkan dibuka bermula 21 Mei selepas laluan itu ditutup susulan kejadian runtuhan tanah di kawasan tersebut pada 3 Disember lalu.
Pengerusi Jawantankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pembukaan laluan lencongan itu memulihkan semula jalan perhubungan antara negeri Kelantan, Pahang dan Perak.
Katanya, pembinaan laluan tersebut merupakan hasil tindakan pantas susulan lawatan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 2 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE














