fbpx
Hengyuan mencatat hasil tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Hengyuan kembali catat keuntungan RM525.55 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hengyuan Refining Company Berhad (Hengyuan) mencatat untung bersih sebanyak RM525.55 juta bagi suku kewangan berakhir 31 Mac 2026 (S1 TK26), berbanding kerugian bersih sebanyak RM170.45 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keputusan kewangan ini menandakan syarikat kembali mencatat keuntungan,  sekali gus mencapai untung bersih suku tahunan tertingginya sejak S2 TK22.

Hasil juga melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun,hampir meningkat dua kali ganda tahun ke tahun kepada RM4.63 bilion berbanding RM2.40 bilion pada S1 TK25.

Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh peningkatan purata harga jualan bagi semua
produk utama susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan ia juga disokong oleh operasi loji yang berdaya tahan dan stabil serta pengurusan risiko
kewangan yang berdisiplin, yang menyumbang kepada pertumbuhan hasil yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata,  pencapaian ini menyediakan landasan yang kukuh bagi Hengyuan untuk mengharungi tahun yang cerah, walaupun terdapat ketidaktentuan yang ketara dalam harga minyak global.

“Pelaksanaan operasi kami yang berdisiplin dan prestasi loji yang stabil, bersama pengurusan risiko dan kewangan yang proaktif adalah usaha strategik yang telah dilaksanakan sejak 2024.

“Ini akan membolehkan kami mengoptimumkan campuran produk serta memanfaatkan
margin produk yang lebih tinggi bagi produk seperti gasoil dan bahan api jet.

“Kami percaya penambahbaikan struktur ini akan terus diterjemahkan kepada momentum pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Bee Hwan menjelaskan, pihaknya kini berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengemudi persekitaran operasi luaran hari ini yang semakin tidak menentu, yang mana dinamik penawaran dan permintaan terus dipengaruhi oleh perkembangan makroekonomi, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

Melangkah ke hadapan, Hengyuan kekal komited terhadap kecekapan operasi, kualiti
produk, dan pengurusan risiko kewangan yang berdisiplin.

“Kami terus menyasarkan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2026 dan memberikan pulangan yang lebih baik kepada semua pemegang saham kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN