GUA MUSANG – Kesesakan trafik luar biasa dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Gua Musang yang merupakan antara pintu masuk utama ke Kelantan susulan peningkatan jumlah kenderaan sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 22 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pertambahan kenderaan dari Pantai Barat termasuk dari Pahang dan Johor itu dijangka menyebabkan aliran trafik di laluan utama di daerah ini perlahan.
Katanya, situasi sama berlaku ketika cuti Hari Raya Aidilfitri lalu apabila kesesakan mencecah sehingga 20 kilometer sehingga tular di media sosial.
“Meskipun terdapat laluan empat lorong di beberapa kawasan, aliran trafik tetap perlahan disebabkan peningkatan mendadak jumlah kenderaan selain Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang yang masih belum siap sepenuhnya.
“Hasil perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR), beberapa langkah mitigasi akan dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan sekali gus melancarkan pergerakan kenderaan,” katanya selepas turun padang meninjau keadaan laluan jalan di sempadan Gua Musang dan Merapoh, Pahang di sini semalam.
Hilmi memberitahu, langkah yang dicadangkan antaranya penyuraian trafik lebih awal bermula dari kawasan Merapoh sebelum memasuki jajahan Gua Musang selain mengadakan mesyuarat teknikal bersama Ibu Pejabat Polis Kuala Lipis dan JKR Lipis dalam masa terdekat.
Menurutnya, kerjasama dengan JKR Pahang amat penting supaya aliran trafik dapat dikawal lebih awal sebelum kenderaan memasuki Gua Musang. – KOSMO! ONLINE














