DALAM dunia moden yang sarat dengan tekanan kerja, seorang remaja berusia 26 tahun menemui ketenangan melalui aktiviti mewarna.
Bagi Nur Aisyah Azman, hobi ‘adult coloring’ bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, malah satu bentuk terapi emosi yang dapat membantu menstabilkan fikiran dan perasaannya.
Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Sepang, Selangor itu berkata, mewarna membantu dia ‘lari’ sebentar daripada tugas harian yang sibuk.
“Ramai orang anggap mewarna ini hanya terhad kepada kanak-kanak.
“Namun bagi saya, ia satu ruang untuk saya bernafas semula,” katanya.
Minat dalam aktiviti mewarna bermula ketika tempoh pandemik Covid-19, sewaktu dia masih menuntut di salah sebuah universiti di Selangor.
Kongsi Nur Aisyah, ketika itu dia mencari hobi sesuai kerana terlalu bosan terperuk di dalam rumah.
“Jadi, saya pun beli buku mewarna dewasa secara online.
“Pada mulanya, saya hanya cuba-cuba. Tapi bila saya mula pilih warna dan isi ruang kosong dalam lukisan, saya rasa tenang dan minda jadi lebih fokus,” katanya.
Sejak itu, aktiviti tersebut menjadi rutin harian buat Nur Aisyah.
Walaupun pandemik telah lama berlalu, namun minat mewarna masih kekal menjadi minatnya sehingga hari ini.
Setiap malam, selepas pulang kerja, Nur Aisyah akan meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk duduk dan mewarna.
Menurut pakar psikologi, aktiviti mewarna boleh membantu mengurangkan stres kerana melibatkan fokus berulang yang menenangkan sistem saraf manusia.
Aktiviti itu juga dikaitkan dengan konsep mindfulness iaitu keadaan seseorang memberi perhatian penuh kepada saat semasa tanpa gangguan luar.
Sementara itu, Nur Aisyah mengakui emosi ketika melakukan aktiviti mewarna akan mempengaruhi hasil karyanya.
“Kalau saya penat atau sedih, saya cenderung guna warna gelap apabila mewarna.
“Kalau saya gembira, saya suka warna terang. Saya sendiri tak rancang, tapi ia jadi macam refleksi kepada diri,” jelasnya.
Biarpun ada rakan sebayanya yang menganggap hobi itu agak ‘kebudak-budakan’, namun Aisyah memilih untuk tidak mengambil pusing dengan pandangan tersebut.
Baginya, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menjaga kesihatan mental.
“Selagi ia tak menyakitkan sesiapa dan membuatkan saya rasa lebih tenang, saya akan teruskan.
“Lagi pun, saya tahu ramai yang sukakan aktiviti ini, malah buku mewarna untuk orang dewasa juga semakin mudah didapati,“ katanya.















