GUA MUSANG – Aliran trafik di pintu masuk utama ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sesak sehingga kira-kira empat kilometer susulan peningkatan jumlah kenderaan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kesesakan tertumpu di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Mentara apabila kenderaan pengguna jalan raya bergerak perlahan.
Katanya, keadaan trafik juga bergerak perlahan di kawasan persimpangan lampu isyarat menuju ke pusat bandar Gua Musang seterusnya ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Anggota polis trafik juga digerakkan ke lokasi yang berlaku kesesakan bagi membantu melancarkan aliran trafik dan memantau keadaan semasa,” katanya.
Tinjauan Kosmo! setakat pukul 1.15 tengah hari tadi mendapati, kenderaan dari arah Jalan Kuala Lipis Ke Gua Musang masih bergerak perlahan di Kampung Mentara sehingga ke Kampung Lepan Jaya.
Sementara itu, seorang pengguna jalan, Ahmad Hasrul Othman, 45, berkata, dia menjangkakan perjalanan kali ini lebih lancar kerana cuti persekolahan dan pulang pada saat akhir, namun sebaliknya apabila terpaksa berdepan kesesakan di pintu sempadan Pahang menuju ke Kelantan.
“Saya bersama keluarga bertolak awal pagi untuk mengelakkan kesesakan tetapi nampaknya ramai yang mempunyai perancangan sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














