Dahulu, sebuah rebana ubi memerlukan beberapa orang untuk mengangkatnya dan lori besar untuk dibawa keluar dari Kelantan bagi tujuan persembahan. Beratnya mencecah 100 kilogram (kg), sekali gus menjadi antara faktor seni warisan itu semakin sukar dikembangkan.
Kini, selepas hampir empat tahun penyelidikan dan pembangunan, rebana ubi tampil dalam versi lebih moden tanpa mengorbankan identitinya. Beratnya hanya sekitar 30kg, namun masih hasilkan bunyi yang sama seperti rebana ubi tradisional.
Usaha tersebut direalisasikan menerusi kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan dana penyelidikan RM300,000 yang bermula sejak 2022 sehingga berjaya menghasilkan Rebana Ubi Inovasi serta sebuah buku dokumentasi lengkap mengenai warisan itu.
Penolong Pengarah Kanan 1 (Pembangunan Produk Seni Budaya JKKN), Dr. Mohammad Husri Morni berkata, inovasi berkenaan bukan bertujuan mengubah identiti rebana ubi, sebaliknya memastikan seni warisan itu terus relevan dan mudah diwariskan kepada generasi baharu.
“Kita melihat rebana ubi perlu disemarakkan semula. Sebab itu JKKN mengambil inisiatif menginovasikannya kepada bentuk yang lebih efisien kerana bentuk asal terlalu berat dan menyukarkan dibawa ke seluruh negara untuk persembahan.
“Kalau dahulu memerlukan ramai tenaga kerja untuk mengangkatnya selain lori besar bagi mengangkut rebana ubi dari Kelantan ke negeri lain, kini jauh lebih mudah dibawa,” katanya selepas pelancaran Rebana Ubi Inovasi sempena Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) Semarakkan Seni Budaya Negeri di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Menurut Dr. Mohammad Husri lagi, proses inovasi itu dilaksanakan secara menyeluruh mengambil kira aspek mobiliti, reka bentuk, bahan binaan serta keaslian bunyi supaya fungsi asal rebana ubi tidak berubah.
Katanya, melalui kerjasama dengan Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRBM), berat rebana ubi berjaya dikurangkan hampir 70 peratus berbanding model asal.
“Kita turut melantik jurutera bunyi daripada UMK untuk menilai kualiti audio sebelum disahkan sendiri oleh adiguru rebana ubi di Kelantan,” ujarnya.
Ulasnya, kejayaan tersebut lahir daripada gabungan kepakaran akademik UMK dengan pengalaman penggiat seni dan adiguru rebana ubi yang duduk semeja mencari penyelesaian terbaik.
Menurutnya, penyelidik turut mengkaji sejarah, fungsi dan evolusi rebana ubi sebelum menentukan bahagian yang boleh diinovasikan tanpa menjejaskan nilai tradisinya.
Dalam tempoh penyelidikan itu, enam kumpulan rebana ubi aktif di Kelantan turut menyumbangkan kepakaran dan data iaitu Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang
Selamat Kampung Belukar Bachok, Kumpulan Rebana Ubi Sri Tujuh Tumpat, Kumpulan Sri Patani Kota Bharu, Kelab Kebudayaan Kesenian KADA Tumpat, Kumpulan Budi Jati Tawang, Bachok dan Kumpulan Rebana Ubi Padang Mengkuang Tawang, Bachok.
Tambah beliau, selepas inovasi itu berjaya dibangunkan, JKKN kini merancang memperluas penggunaannya menerusi modul pembelajaran seni budaya di sekolah, institusi pengajian tinggi serta kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Sementara itu, Pengarah Creative Accelerator Center (CAC) yang juga penulis buku Rebana Ubi Alat Muzik Tradisional Kelantan, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, penghasilan buku berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha mendokumentasikan warisan tersebut.
“Buku setebal 156 muka surat dalam dwibahasa ini menghimpunkan sejarah rebana ubi, proses pembuatan, penjagaan dan penyimpanan, amalan permainan serta pantang larangnya,” katanya.
Menurut beliau, buku berkulit keras terbitan JKKN itu kini boleh diperoleh di JKKN Pusat dan dijangka memasuki cetakan kedua tahun ini sebelum dipasarkan kepada orang ramai.














