KUALA LUMPUR – Terminal Bas Pekeliling yang pernah menjadi nadi perjalanan dan menyimpan pelbagai kenangan buat warga kota sejak awal 70-an bakal lenyap apabila operasinya ditamatkan sepenuhnya 1 Jun ini.
Premis ikonik berhampiran Stesen Monorel Titiwangsa itu tidak lagi digunakan selepas perkhidmatan bas ekspres dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Terminal yang pernah menjadi saksi jutaan perjalanan, pertemuan dan perpisahan hanya menunggu detik tirainya dilabuhkan dan meninggalkan seribu satu nostalgia buat warga kota.
Tinjauan mendapati, terminal yang pernah sesak kini suram dan sepi dan hanya kelihatan beberapa individu menunggu bas di lima lorong laluan yang masih beroperasi.
Selain itu, hanya dua operator bas ekspres yang masih ada, manakala di kaunter pembayaran terdapat notis memaklumkan penamatan operasi bas ekspres susulan arahan Agensi Pengangkutan Awam Darat.
“Berkuat kuasa mulai 19 Mei 2026, syarikat tidak lagi mengambil dan menurunkan penumpang di Stesen Pekeliling. Semuanya akan bermula dan berakhir di Terminal Bersepadu Gombak,” menurut notis tersebut.
Terminal itu pernah menjadi antara hab pengangkutan paling penting di ibu negara, khususnya bagi laluan ke Pantai Timur dan utara Semenanjung.
Lokasinya yang strategik berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur, Hospital Kuala Lumpur, Institut Jantung Negara serta akses terus ke pengangkutan awam seperti monorel dan Transit Aliran Ringan menjadikan terminal itu cukup sinonim dengan kehidupan warga kota.
Pemandu bas, Mohd. Khairuddin Ismail, 64, berkata, terminal itu bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi medan penuh nostalgia.
“Saya mula pandu bas sejak 2016 tetapi saya dah biasa dengan kawasan ini sejak muda. Ia meriah seperti Puduraya tetapi sekarang semuanya berubah kerana orang beli tiket secara online dan ramai berpindah ke TBG,” katanya.
Menurutnya, Terminal Bas Pekeliling pernah menjadi pilihan utama orang ramai kerana kedudukannya yang dekat dengan bandar selain memudahkan penumpang warga emas mendapatkan akses ke hospital berhampiran.
Peniaga, Faiz, 23, berkata, keluarganya sudah lebih 30 tahun mencari rezeki di terminal berkenaan sejak zaman neneknya lagi.
“Emak saya meniaga sini sejak dulu. Saya pula membesar dekat sini. Banyak kenangan dekat terminal ini,” katanya.
Menurut Faiz, terminal itu bukan sekadar lokasi pengangkutan, tetapi sebahagian daripada sejarah kehidupan ramai warga kota dan anak perantau.
“Ramai orang Pantai Timur memang ada nostalgia dengan terminal ini. Dulu hujan ke panas ke, orang tetap naik bas dekat sini,” katanya.
Penumpang, Nur Aisyah Hamdan, 29, berkata, terminal itu menyimpan kenangan zaman belajar ketika dia kerap menaiki bas pulang ke Temerloh, Pahang.
“Dulu kalau cuti semester, saya mesti naik bas di sini. Walaupun terminal ini sederhana dan panas, suasananya sangat dekat di hati. Sedih pula bila dengar ia hendak ditutup sebab banyak kenangan,” katanya.















