SHAH ALAM – Demi mengejar rezeki, seorang wanita Myanmar sanggup mencagarkan rumah keluarga dan membayar RM10,000 kepada ejen untuk masuk ke Malaysia secara haram.
Bagaimanapun, usaha wanita, Thet Hnin Oo, 23, menjerat dirinya sendiri apabila ditangkap dalam Operasi Bersepadu
yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Selangor di sekitar Setia Alam, bermula 12 tengah malam tadi.
Hnin Oo mendedahkan, dia dibawa masuk ke negara ini menaiki bot besar melalui Thailand sebelum menggunakan laluan tikus tanpa sebarang dokumen sah.
Anak sulung daripada dua beradik itu memaklumkan baru bekerja di sebuah kantin di sekitar Setia Alam dengan gaji kira-kira RM60 sehari.
“Saya tiada dokumen dan masuk ikut jalan belakang. Ibu bapa di kampung sampai cagar rumah untuk bayar ejen supaya saya boleh datang kerja di Malaysia
“Gaji pun belum dapat lagi. Memang menyesal saya masuk secara haram,” katanya ketika ditemui Kosmo! dalam operasi penguatkuasaan tersebut.
Tambahnya, dia hanya berpendidikan sehingga tamat sekolah menengah sebelum mengambil keputusan merantau secara tidak sah ke negara ini.
Seorang lagi pendatang asing tanpa izin (PATI), Osman Ibrahim, 54, berkata, memasuki negara ini secara haram dengan bayaran RM2,000 setahun lalu bersama isterinya melalui Batam, Indonesia.
Ini berikutan selepas pasport hilang dua tahun lalu dan membuat dokumen baharu.
“Saya bekerja sebagai buruh, manakala isteri pula tukang cuci. Saya ditangkap ketika sembunyi di belakang tandas, manakala isteri tidak tahu lari ke mana.
“Kami bayar RM50 sebulan yang dikutip wakil perkampungan PATI ini,” jelasnya.
Dalam serbuan sama, rakan senegaranya, Suradi, 32, dari Surabaya, turut melarikan diri sambil mendukung anak lelakinya berusia 18 bulan, manakala isterinya ditahan.
Dia berkata, sudah berada di Malaysia kira-kira tiga tahun dan juga memasuki melalui Batam, Indonesia sebelum bekerja sebagai buruh dengan upah sekitar RM80 sehari.
“Saya dukung anak lelaki lari ketika orang menjerit bagi memaklumkan ada serbuan. Isteri saya tidak sempat lari dan ditangkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














