TANJUNG MALIM – Seorang remaja berumur 20 tahun menyimpan cita-cita bergelar seorang pendidik dengan tahap pendidikan Doktor Falsafah (PhD) bagi memastikan bakal anak muridnya menjawat jawatan profesional berpendapatan tinggi pada masa depan.
Selain itu, Nur Zalia Najiha Zakaria yang merupakan anak negeri ini ingin membalas jasa baik kedua-dua ibu bapanya yang banyak berkorban bagi memastikan kebajikan dan keperluannya, serta tujuh beradik lain dipenuhi sebaiknya.
“Ayah saya Zakaria Mat Arop, 55 bekerja sebagai pemandu komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sementara ibu pula, Kartasiah Abd. Latif, 51, membersihkan inap desa.
“Saya melihat sendiri bagaimana mereka berdua begitu kuat bekerja dan banyak berkorban masa, tenaga, serta wang ringgit demi memastikan keperluan persekolahan saya dan adik-beradik yang lain sentiasa mencukupi. Kejayaan ini adalah hadiah untuk pengorbanan mereka,” katanya kepada Kosmo!
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City itu ditemui pada Hari Anugerah Kecemerlangan setelah mendapat keputusan membanggakan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.00, iaitu semua A dalam empat mata pelajaran.
Nur Zalia bercadang untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya, sebagai anak jati Perak, dia memang berhasrat untuk kembali berbakti di negeri tercinta ini setelah tamat pengajian bagi menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.
“Saya amat bertuah kerana menerima Biasiswa YAB Menteri Besar Perak menerusi Yayasan Perak sebanyak RM1,000 secara one-off. Ini amat besar maknanya kerana membantu meringankan beban keluarga.
“Menerusi bantuan itu, keperluan membayar yuran sekolah, membeli bahan-bahan rujukan, buku latihan serta peralatan sekolah yang diperlukan sepanjang pengajian STPM dapat dipenuhi,” katanya.
Dia juga pernah menerima bantuan membeli kelengkapan persekolahan Back To School anjuran kerajaan negeri Perak yang diselia oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Salina Samsudin.
Biasiswa YAB Menteri Besar Perak, menerusi Yayasan Perak diperkenalkan pada tahun 2019 dan telah memberi manfaat kepada 7,627 penerima dengan jumlah peruntukan melebihi RM8.12 juta.
Penerima yang berkelayakan menerima RM1,000 bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan RM1,200 bagi STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Bantuan kerajaan negeri itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Muallim sebagai Bandar Mesra Belia Tanjung Malim serta Mampan dengan tumpuan terhadap pertanian, perniagaan dan perkhidmatan.
Inisiatif tersebut juga menepati flagship Kelima pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat. -KOSMO!














