TEXAS – Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente mengakui percaturan taktikal dibuat membuahkan hasil apabila Mikel Merino muncul wira bagi memacu pasukan ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Portugal 1-0 awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Dallas itu, Merino meledak gol kemenangan pada masa kecederaan selepas menerima hantaran seorang lagi pemain gantian, Ferran Torres, sekali gus membuatkan Selecao ‘gigit jari’.
Menurut De La Fuente, kejayaan itu membuktikan kekuatan pasukan dipikul bersama oleh semua 26 pemain berbanding terlalu fokus dengan kesebelasan utama.
“Pada saya, pemain yang paling penting ialah mereka yang masuk dari bangku simpanan. Saya berpesan kepada Merino supaya bermain seperti biasa kerana dia ada kualiti untuk bantu bahagian tengah dan serangan.
“Impak serta sumbangan semua pemain gantian pada aksi kali ini sangat luar biasa. Saya rasa itulah kelebihan kami kerana memiliki 26 pemain yang berada pada tahap sangat tinggi dan sedia dimasukkan pada bila-bila masa,” katanya.
Sementara itu, kapten La Roja, Rodri mengakui, perlawanan berlangsung sengit apabila Portugal fokus dengan taktikal ‘parkir bas’ sehingga menyukarkan dia dan rakan-rakan sepasukan untuk mencipta peluang.
Namun, pemain Manchester City itu percaya usaha barisan pemain akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya memanfaatkan peluang untuk mengelak perlawanan diheret ke masa tambahan.
“Kami tahu Portugal akan bertahan sepanjang perlawanan dengan aksi kedua-dua pasukan cukup seimbang selain fokus untuk menguasai bola. Secara keseluruhan, saya fikir kami bermain dengan baik,” ujarnya – AGENSI














