fbpx
HAALAND perlu menggunakan kesempatan kali ini untuk mencipta sejarah memburu anugerah penjaring terbanyak.

Apakah Haaland senasib Jung-hwan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAINGAN Piala Dunia 2026 sudah hampir memasuki fasa genting apabila lapan pasukan terbaik sudah lengkap untuk bertarung di pusingan suku akhir.

Selain telahan pasukan mana yang bakal menjulang kejuaraan pada edisi kali ini, apa yang menjadi sorotan peminat adalah persaingan yang cukup sengit untuk merebut gelaran kasut emas selaku penjaring terbanyak.

Ketika ini, empat nama dilihat akan terus menjadikan perebutan berkenaan terus hangat apabila tiga pemain, Lionel Messi, Erling Haaland dan Kylian Mbappe berkongsi tujuh gol, manakala Harry Kane mengekori rapat dengan enam gol.

Bagaimanapun, daripada empat pemain berkenaan, Haaland dilihat cukup istimewa selepas mencipta rekod jaringan berkenaan pada penampilan pertamanya di Piala Dunia sekali gus berpeluang untuk mencipta sejarah hebat.

Mewakili Norway, Haaland perlu menggunakan kesempatan kali ini untuk mencipta sejarah memburu anugerah penjaring terbanyak ketika negara itu tidaklah dianggap pasukan yang regular di Piala Dunia.

Selepas lebih tiga dekad hilang daripada saingan, Norway perlu berterima kasih kepada penggempur berusia 25 tahun itu apabila prestasinya yang memuncak membantu pasukan itu mara terutama ketika menempah slot suku akhir dengan mengejutkan Brazil di pusingan 16 terbaik.

Ketika dua jaringannya menghantar Brazil pulang lebih awal selepas Norway meraih kemenangan 2-1, Haaland menerima pujian luar biasa daripada pengendali gergasi Amerika Latin itu, Carlo Ancelotti yang menyifatkannya pemain bijak.

Penggempur berusia 25 tahun itu sering dipuji sebagai pemain yang memiliki fizikal dan kekuatan badan yang hebat serta sentuhan penyudah yang luar biasa, namun Ancelotti memilih perkataan bijak untuk melabelkan kemampuannya.

Menurut Ancelotti, Haaland tidak membazirkan tenaga dengan mengejar setiap bola atau bergelut dengan pertahanan sepanjang 90 minit.

“Dia memerhati mereka, dia menunggu, dan dia memahami dengan tepat saat seorang pemain pertahanan hilang tumpuan. Kemudian, dalam sekelip mata, dia sudah terlepas.

“Anda mungkin bertahan dengan sempurna berdepannya selama 89 minit, tetapi bola sepak ditentukan oleh detik-detik tertentu dan Haaland mungkin pemain terbaik di dunia dalam mengenal pasti detik-detik itu,” kata Ancelotti.

Norway mungkin mampu mencipta satu lagi kejutan dengan mara ke separuh akhir sekiranya Haaland mampu mengekalkan prestasi terbaiknya dalam sentuhan jaringan ketika berdepan England di suku akhir nanti.

Kini, dia bakal mengharungi tugas yang sudah menjadi rutin hariannya di Liga Perdana Inggeris apabila bakal berdepan pemain-pemain pertahanan dan penjaga gol yang sudah biasa dihadapinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sekiranya Haaland menjadi ‘duri dalam daging’ menyingkirkan England kali ini, perkara yang menarik adalah penerimaan peminat di EPL selepas dia kembali bersama Manchester City pada musim baharu nanti.

Semoga dia tidak menerima nasib yang sama seperti Ahn Jung-hwan yang dihalang beraksi bersama Perugia di Itali selepas muncul wira Korea Selatan dengan meledak gol kemenangan ke atas The Azzurri pada edisi Piala Dunia 2002. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN