NEW YORK – Pendekatan Brazil untuk tidak mengambil risiko mengundang padah apabila tewas 1-2 kepada Norway pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium New York awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Selecao kini gagal layak ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun, sekali gus menghadirkan satu lagi kejutan besar pada penganjuran kali ini.
“Pada permulaannya, saya fikir permainan kami cukup terkawal dan berjaya mencipta peluang. Adalah sukar untuk memberikan terlalu banyak tekanan kerana Norway menampilkan aksi cukup baik ketika bertahan.
“Kami memerlukan bakat muda dan berkelas tinggi untuk berada dalam pasukan. Saya fikir kami sudah melakukan tugas dengan baik tetapi inilah bola sepak, adakalanya kami perlu merasai keperitan mengalami kekalahan,” kata jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti.
Norway menampilkan aksi lebih baik apabila meledak dua gol menerusi Erling Haaland manakala Neymar yang menghasilkan jaringan tunggal Brazil kini sudah pun membuat keputusan bersara daripada skuad kebangsaan.
Persaraan Neymar yang sering menjadi nadi utama pasukan dan meraih pelbagai kejayaan individu menjadi kehilangan besar buat Brazil memandangkan dia adalah penjaring gol terbanyak sepanjang zaman buat juara dunia lima kali itu.
“Neymar adalah pemain tepat untuk mengambil penalti, kemudiannya Raphinha dan Bruno (Guimaraes). Jadi sebab itu kami pilih dia (Neymar) kerana dia adalah pemain terbaik dalam padang,” ujar Ancelotti. – AGENSI














