fbpx
FAUZIAH (depan) menegaskan mandat daripada rakyat bukanlah satu keistimewaan sebaliknya amanah yang menuntut komitmen tinggi.

‘Sentiasa dengar, pantas bertindak selesai masalah rakyat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar yang juga calon Barisan Nasional (BN), Fauziah Misri, tekad untuk terus menawarkan khidmat bakti yang berpijak di bumi nyata demi kemajuan seluruh masyarakat di kawasan berkenaan.

Mesra disapa ‘Kak Gee’ atau gelaran unik ‘YB Sayur’ hasil inisiatif edaran sayur percuma kepada penduduk sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa mandat daripada rakyat bukanlah satu keistimewaan untuk bermegah, sebaliknya satu amanah berat yang menuntut komitmen berterusan di lapangan.

​Bagi Fauziah, fokus utama­nya jika diberi kepercayaan oleh pengundi adalah untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa ‘mendengar’ dan pantas bertindak menyelesaikan masalah setempat, bukannya menghilangkan diri selepas menang.

​“Jika diberi mandat sekali lagi, keutamaan saya adalah untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mendengar masalah masyarakat dan membawa setiap isu kepada pihak berkaitan sehingga selesai.

​“Saya akan berusaha menambah baik kemudahan asas, memperkukuh peluang ekonomi, membantu golongan belia, wanita, serta warga emas, di samping memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“Saya tidak mahu menjanjikan perkara di luar kemampuan, tetapi saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh, amanah dan sentiasa bersama rakyat,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Mengulas mengenai dakwaan pihak lawan yang cuba memainkan isu jantina kononnya wanita tidak boleh memimpin, Fauziah menyifatkan pemikiran sedemikian sebagai lapuk dan ketinggalan zaman.

​”Siapa kata wanita tidak boleh memimpin? Lihat sahaja Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang telah berkhidmat selama enam penggal tanpa sebarang masalah. Isu jantina tidak sepatutnya dijadikan halangan, malah sokongan yang saya terima datang daripada semua lapisan masyarakat, termasuk kaum lelaki dan golongan belia,”katanya.

​Menyentuh mengenai strategi memikat pengundi muda, Fauziah berkata, golongan berkenaan tidak lagi boleh didekati dengan kaedah politik lama atau sekadar disogok dengan manifesto retorik.

Justeru itu, beliau memulakan strategi dengan menyantuni golongan tersebut di lokaliti mereka bagi memahami aspirasi sebenar generasi baharu DUN Penawar.

​Dalam pada itu, Fauziah turut menepis tindakan pihak lawan yang cuba menangguk di air keruh berhubung isu infrastruktur di Felda Air Tawar 1 dan projek perumahan Felda Generasi Kedua di Papan Timur.

​Beliau menjelaskan, bahawa peruntukan sebanyak RM300,000 bagi Felda Air Tawar 1 sebenarnya telah diluluskan, dan kerja-kerja awal telah pun bermula sebelum pihak lawan datang memainkan isu
tersebut.

​“Mengenai isu penempatan generasi kedua pula, ia bukannya terbengkalai tetapi perkemba­ngannya sedikit perlahan ekoran kegagalan kontraktor terdahulu. Pihak Felda sudah bersetuju melanjutkan Extension of Time (EOT) dan kontraktor baharu kini sedang menjalankan kerja se­perti biasa. Agensi terlibat amat bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya.

​Beliau menambah, pengalamannya yang pernah menguruskan hal ehwal sosiopolitik di bawah Seranta Felda (Jabatan Perdana Menteri) serta penglibatan dalam sektor perbankan sebelum ini menjadi aset pen­ting untuk memahami dan menyelesaikan kerenah birokrasi demi rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN