KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada sektor pekerjaan, sebaliknya perlu dikuasai untuk memberi manfaat kepada kualiti kualiti pekerjaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan analisis, teknologi tersebut tidak mampu menggantikan peranan wartawan dan pembaca berita sepenuhnya.
“Namun kita menjangkakan, mereka akan digantikan oleh wartawan dan pembaca berita yang fasih menggunakan AI,” katanya selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital ABU ke-22 (DBS 2026) di sini hari ini.
Bertemakan “The Rising Synthetic Era”, simposium tersebut mengumpulkan delegasi antarabangsa untuk membincangkan evolusi teknologi, terutamanya impak AI terhadap industri penyiaran.
Setiap tahun, DBS berjaya menarik lebih 1,200 peserta termasuk pakar media, eksekutif kanan dan pembuat keputusan daripada organisasi penyiaran, badan kawal selia, institusi kerajaan, serta penyedia penyelesaian teknologi.
Bagi menyokong perubahan digital tersebut, Fahmi memaklumkan, kerajaan mengambil inisiatif dalam menyediakan dana khas iaitu Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta.
“Dana ini boleh dimanfaatkan oleh semua syarikat media dan badan berkaitan untuk memastikan penggunaan teknologi AI dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebaik mungkin tanpa membuang pekerja,” ujarnya.
Beliau turut menyeru media untuk memainkan peranan dalam meningkatkan literasi AI bagi membolehkan rakyat membezakan kandungan asli dan palsu termasuk deepfake (pemalsuan wajah) untuk tujuan penipuan. — KOSMO! ONLINE














