JOHOR BAHRU – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan selamat maju jaya kepada Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi susulan pengumuman peletakan jawatan dalam parti sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan serta keluar daripada PKR.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau menghormati segala pandangan serta keputusan dibuat oleh pemimpin muda berkenaan dan berharap segala urusan dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya ucapkan all the best (selamat maju jaya) kepada beliau dan semoga apa sahaja yang berlaku dapat diuruskan dengan baik,” katanya ringkas ketika ditemui selepas meninjau persiapan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut menegaskan PKR kekal kukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak penubuhannya.
Terdahulu, Asheeq dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau merasakan hala tuju parti kini semakin menjauh daripada asas perjuangan dan idealisme reformasi yang diyakininya sejak menyertai PKR susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton.
Menurutnya, beliau pada awalnya percaya masih terdapat ruang untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu parti, namun akhirnya berdepan konflik antara idealisme perjuangan dan pragmatisme politik yang semakin menebal dalam PKR.
Beliau turut memaklumkan akan menyerahkan notis dua minggu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berhubung peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Batu. – KOSMO! ONLINE














